KUALA LUMPUR – Pasaran buruh Malaysia akan meningkat secara marginal namun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan selepas merekodkan kadar pengangguran lebih 4.0 peratus buat pertama kali hampir tiga dekad tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong oleh pelbagai program inisiatif oleh kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan serta pelancaran program vaksinasi pada tahun 2021.

Langkah ini dapat membantu melegakan serta mengurangkan beban perniagaan, sekali gus boleh membantu mempercepatkan pemulihan pasaran buruh.

”Pelbagai fasa PKP 2.0 juga dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan wabak ini, beberapa kelonggaran bagi aktiviti ekonomi untuk beroperasi juga dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat.

”Oleh itu, ia dapat membantu perniagaan untuk mengekalkan momentum serta mengimbangi kesan ekonomi dan kepentingan kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, semasa krisis Covid-19, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus merekodkan pertambahan melebihi 200,000 orang penganggur.

Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat walaupun dengan pelaksanaan PKP yang berterusan sehingga akhir tahun dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan.

Justeru, menjelang akhir tahun 2020, didapati tenaga kerja menunjukkan pemulihan dengan momentum perlahan.

Katanya, tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur, meningkat sebanyak 0.6 peratus (+86,100 orang) kepada 15.7 juta orang (2019: 15.6 juta orang).

Bagaimanapun, tidak seperti tempoh pra-krisis, didapati peningkatan tenaga buruh pada tahun ini adalah disebabkan oleh pertambahan dalam bilangan penganggur manakala bilangan penduduk bekerja berkurang.

Berikutan ketidaktentuan pasaran buruh pada tahun tersebut, didapati sebahagian kecil tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif yang mana bilangan luar tenaga buruh meningkat sebanyak 1.7 peratus (+122,000 orang) merekodkan 7.2 juta orang (2019: 7.1 juta orang).

Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menurun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus (2019: 68.7%).

Kadar pengangguran tahunan meningkat 1.2 mata peratus kepada 4.5 peratus pada tahun 2020, kadar tertinggi sejak tahun 1993. Bilangan penganggur bertambah sebanyak 39.9 peratus (+202.8 ribu orang) merekodkan seramai 711,000 orang
(2019: 508,200 orang).

Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat sebanyak 40.4 peratus (+148,000 orang) kepada 514,200 orang (2019: 366,200 orang).

Hampir separuh daripada penganggur aktif (46.5%) adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan.

Mengikut kumpulan umur, kadar pengangguran belia yang berumur 15 hingga 24 tahun meningkat sebanyak 1.5 mata peratus kepada 12.0 peratus (2019: 10.5%) mencatatkan seramai 314,000 orang penganggur belia pada tahun 2020 (2019: 295,800 orang).

Begitu juga dengan kadar pengangguran dewasa yang berumur 25 hingga 64 tahun meningkat 1.3 mata peratus kepada 3.0 peratus (2019: 1.7%) merekodkan 397,000 orang (2019: 212,400 orang).

Dari segi prestasi mengikut negeri, semua negeri merekodkan peningkatan kadar pengangguran pada 2020. Sabah merekodkan kadar pengangguran tertinggi dengan 8.0 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (7.2%) dan Perak (4.8%).

Sementara itu, tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.5%), Melaka (2.2%) dan Pahang (3.1%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast