Vaksin keluaran Johnson & Johnson. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat boleh menggunakan semula vaksin Johnson & Johnson, kata pengawal selia kesihatan tertingginya selepas 10 hari menyiasat kaitan vaksin dengan pembekuan darah yang sangat jarang berlaku.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka akan memberi amaran mengenai risiko berpotensi membawa maut yang melibatkan pembekuan darah yang teruk dan platelet rendah dalam lembaran fakta yang diberikan kepada penerima.

Pegawai tertinggi FDA berkata, keputusan itu berkuatkuasa serta merta, membuka jalan untuk suntikan vaksin itu seawal hari Sabtu.

“Kami tidak lagi mencadangkan penggunaan vaksin ini ditangguhkan,” kata Pengarah CDC Rochelle Walensky pada taklimat media.

Ini kerana, berdasarkan analisis mendalam, vaksin ini mungkin menyebabkan pembekuan darah tetapi risikonya sangat rendah.

Ini kerana, berdasarkan analisis mendalam, vaksin ini mungkin menyebabkan pembekuan darah tetapi risikonya sangat rendah.

Agensi-agensi tersebut membuat keputusan itu setelah pertemuan dengan penasihat luar CDC yang mengesyorkan agar penangguhan vaksin ini diakhiri.

CDC dan FDA telah menyiasat risiko-risiko penggunaan vaksin ini.

Semalam, 10 panel CDC mengundi agar vaksin Johnson dan Johnson disyorkan kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas, yang merupakan parameter FDA sekarang.

“Saranan jawatankuasa itu adalah langkah penting untuk meneruskan vaksinasi yang sangat diperlukan dengan cara yang selamat untuk berjuta-juta orang di AS,” kata Ketua Pegawai Sains Johnson dan Johnson Paul Stoffels dalam satu kenyataan.

CDC mengatakan terdapat 15 kes sindrom, termasuk enam kes yang disahkan semuanya berlaku pada wanita.

Daripada jumlah itu tiga kes melibatkan kematian.

Walaupun keberkesanan vaksin Johnson dan Johnson dalam ujian klinikal agak ketinggalan berbanding dua vaksin lain iaitu Pfizer-BioNTech dan Moderna tetapi ia mempunyai kelebihan kerana membabitkan satu dos sahaja.

Ia juga boleh disimpan di dalam peti sejuk dan tidak perlu dibekukan semasa diangkut, menjadikan ia lebih baik untuk kawasan yang sukar dijangkau. – MalaysiaGazette