Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan dadah yang dirampas daripada kegiatan pengedaran dadah pasangan suami isteri di IPD Sentul, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI, 24 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Taktik seorang pemandu e-hailing yang membungkus dadah dalam bungkusan kecil bagi memudahkan pengedarannya kepada pelanggannya akhirnya tumpas selepas ditahan polis.

Suspek dibantu oleh isterinya yang menerima bekalan secara pukal daripada suspek lain,  menyimpan dadah itu di rumah sewa mereka di Apartmen Bandar Sri Damansara.

Pasangan ini kini disyaki terlibat sebagai pengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pasangan itu telah ditahan di dua lokasi berasingan di ibu negara selepas bertindak atas maklumat.

Menurutnya, pasukan Narkotik IPD Sentul telah menahan suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun yang merupakan seorang pemandu e-hailing di sebuah taman permainan kanak-kanak di Segambut.

Ketulan dadah yang dirampas daripada sepasang suami isteri ditunjukkan kepada media semasa sidang media oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai hari ini. Foto HAFIZ SOHAIMI, 24 APRIL 2021.

“Hasil soal siasat ke atas suspek dan berpandukan maklumatnya membawa polis kepada sebuah kereta Proton Exora miliknya yang diletakkan di tepi taman permainan itu.

“Polis menjumpai ganja seberat 2.540 kilogram bersama wang tunai RM200 disyaki hasil urus niaga dadah dalam kereta itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Suspek kemudian membawa polis ke sebuah apartment dan di situ dadah seberat 25.610 kilogram ditemui dalam bentuk ketulan mampat serta heroin seberat 406.27 gram.

Tambah beliau, ketulan mampat dadah 25 kilogram itu disimpan dalam dua kotak pos laju.

Polis turut menahan isteri lelaki berkenaan yang beusia 24 tahun di dalam itu.

Eng Lai berkata, ujian saringan kencing ke atas mereka mendapati suri rumah yang baru melahirkan bayi perempuan itu positif ganja tetapi suaminya negatif.

Katanya, suspek lelaki itu mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau curi kenderaan dan dadah. Pasangan itu ditahan reman tujuh hari sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette