Kapal selam Nanggala-402. foto Agensi

JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia bimbang bekalan oksigen dalam kapal selam yang hilang sudah kehabisan.

Negara ini juga dalam kebimbangan kapal selam yang membawa 53 anak kapal itu mungkin sudah tenggelam dan telah hancur.

Kapal selam KRI Nanggala 402 hilang pada hari Rabu semasa latihan di pantai Bali.

Tumpahan minyak yang dikesan mencadangkan ada berlaku kerosakan pada tangki bahan bakar mungkin menjadi faktor kehilangan kapal selam itu.

Pada hari Khamis lalu, tentera Indonesia telah mengesan tanda-tanda objek pada kedalaman antara 50 dan 100 meter (165 hingga 330 kaki) dan telah mengerahkan kapal dengan peralatan pengesan sonar.

Jurucakap tentera berkata, bekalan oksigen dalam kapal selam itu dijangka berakhir 3 pagi hari ini.

Tempoh itu telah berlalu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya enam kapal perang dan sebuah helikopter terlibat dalam misi pencarian.

KRI Nanggala 402 terputus hubungan sejurus selepas meminta izin untuk menyelam semasa latihan pada awal pagi Rabu.

Kapal buatan Jerman itu adalah salah satu dari lima kapal selam yang dikendalikan oleh Indonesia.

Ia dibuat pada akhir 1970-an dan menjalani proses perbaikan dua tahun di Korea Selatan yang siap pada 2012.

Jurucakap tentera laut memberitahu BBC bahawa kejadian itu adalah kali pertama Indonesia kehilangan salah satu kapal selamnya.
Tetapi kejadian serupa telah berlaku di tempat lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast