Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada sidang media khas di Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Dana kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) boleh digunakan setelah penubuhannya mencecah tempoh 10 tahun.

KWAN ditubuhkan untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara yang stabil demi faedah negara dan generasi akan datang.

Di bawah Seksyen 6, Akta 339 membenarkan dana KWAN digunakan selepas tamatnya tempoh 10 tahun dari permulaan ia dikuatkuasa akta digunakan (1988) bagi membiayai projek pembangunan dalam Jadual Pertama Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406] dan pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Oleh itu, Menteri Kewangan,  Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penggunaannya dana itu sebanyak RM5 bilion bagi tujuan pembiayaan pembangunan termasuk pembelian vaksin adalah wajar.

“Setakat 31 Disember 2020, dana KWAN berjumlah RM19.5 bilion merangkumi sumbangan Petronas RM10.4 bilion dan pulangan pelaburan terkumpul RM9.1 bilion,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya di sini, hari ini.

Tambah beliau, pindaan undang-undang ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 [Akta 339] melalui Ordinan Darurat membolehkan dana KWAN digunakan untuk pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit sahaja.

“Penggunaannya dihadkan hanya untuk memperoleh vaksin dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan di bawah undang-undang.

“Anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanyalah menggunakan jumlah pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan,” ujarnya.

Menurut Tengku Zafrul lagi, krisis yang sedang dihadapi Malaysia ketika ini bukanlah krisis ekonomi seperti tahun 1998 dan 2008 sebaliknya, ia adalah krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak.

Vaksinasi pula adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi, selari dengan objektif penubuhan KWAN adalah untuk melindungi generasi masa depan dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoal mengapa kerajaan mahu menggunakan dana KWAN selepas membuat pinjaman berjumlah RM85 bilion, selain mendapat hasil daripada penjualan beberapa aset negara.

Najib turut mempersoalkan bagaimanakah kerajaan menggunakan peruntukan Belanjawan 2021 berjumlah RM3 bilion yang diluluskan untuk pembelian vaksin. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.