KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengenakan duti anti-lambakan ke atas import keluli tahan karat gulungan sejuk dalam bentuk gegelung, kepingan atau apa-apa bentuk lain yang berasal atau dieksport dari Indonesia dan Vietnam selepas mendapati negara-negara itu membawa masuk dagangan itu dengan harga lebih rendah.
Harga yang lebih rendah itu menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.
Berikutan itu, Indonesia dan Vietnam, masing-masing dikenakan duti anti-lambakan dagangan dengan nilai margin lambakan 8.80% hingga 34.82% dan dan 7.81% hingga 23.84%.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kutipan duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama tempoh lima tahun mulai 24 April 2021 hingga 23 April 2026.
Pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari negara-negara tersebut dijangka menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil.
Pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai Penentuan Muktamad dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri di alamat berikut:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur
Malaysia – MalaysiaGazette