revocation of Emergency Ordinance Former Prime Minister Datuk Seri Najib Razak 1MDB debts KWAN 1Malaysia Development Berhad
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan sudah menerima sejumlah RM33.4 bilion daripada penyelesaian dan pemulangan dana yang berkaitan dengan Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, beliau mempersoalkan ke mana perginya wang sebanyak itu kerana hutang 1MDB yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebanyak RM32.2 bilion tidak bergerak.

Sebaliknya, jumlah itu pada tahun ini berjumlah RM32.3 bilion.

”Ratib hutang 1MDB tapi tak jelaskan berapa dana yang sudah dibayar balik dan aset-aset yang masih dalam 1MDB. Ini realitinya.

”Hutang 1MDB ditinggal BN RM32.2 bilion. Hutang 1MDB pada tahun 2021 RM32.3 bilion (satu sen prinsipal hutang pun tak pernah dibayar PH dan PN sejak PRU-14).

”Jumlah yang telah diambil balik kerajaan setakat ini: RM33.4 bilion (ke mana perginya duit ini dan kenapa tak guna untuk selesaikan sepenuhnya hutang RM33.2 bilion 1MDB?),” soal beliau.

Jumlah itu katanya, tidak termasuk penyelesaian KPMG, Wong & Partners, IPIC, Abu Dhabi yang masih dalam rundingan dan penjualan Bangunan Exchange 106 yang belum diumumkan.

Malah, masih ada lagi aset-aset dalam 1MDB termasuk IPP (sekitar RM50 bilion), pembinaan dan naik taraf lapan pangkalan Kementerian Pertahanan termasuk Sendayan (RM2.7 bilion), baki 40% kepentingan dalam Bandar Malaysia (40% daripada nilai pembangunan kasar RM140 bilion) dan nilai pembangunan kasar Tun Razak Exchange (RM40 bilion),

Secara sinis Najib mempersoalkan, hutang 1MDB yang didakwa membebankan tapi wang RM33.4 bilion dan baki aset 1MDB yang masih bernilai ratusan bilion ringgit tak ringankan beban ke.

”Aset yang naik RM1.2 trilion oleh kerajaan BN masa saya PM dari RM800 bilion pada akhir 2008 ke RM2 trilion pada akhir 2017 untuk Pakatan Harapan jarah dan Perikatan Nasional belanja RM600 bilion termasuk tabung KWAN RM16.9 bilion itu tak ringankan beban pulak?

”Wang RM600 bilion yang PM8 kata dia belanja itu, PN dapat dari mana? PN menabung dari kecil ke?” soalnya.

Semalam dalam taklimat media, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Kerajaan Perikatan Nasional telah mewarisi lebih dari RM1 trilion pinjaman dan liabiliti kerajaan, termasuk menjamin pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1MDB dan inisiatif kewangan swasta (PFI) untuk perbelanjaan di luar imbangan kira-kira.

Sebagai contoh, obligasi 1MDB sebanyak RM40 bil cukup untuk membayar kos vaksin lapan kali ganda

”Jadi, apakah pilihan terbaik yang wajar diambil oleh Kerajaan PN yang mewarisi obligasi untuk membayar balik liabiliti seperti PFI secara off balance sheet, 1MDB, SRC dan sebagainya yang dianggarkan melebihi RM20 bilion setahun untuk 5 tahun akan datang?

”Jumlah komitmen ini sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai keperluan rakyat pada masa ini, seperti BPR, program subsidi upah, geran khas Prihatin dan terutamanya kos pembiayaan vaksin,” katanya. – MalaysiaGazette