Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Tiada sebarang unsur penderaan dikesan ke atas lapan lagi pelajar yang menuntut di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak (TAR) selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sehingga hari ini, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana ibu bapa pelajar berkenaan.

“Untuk makluman, lapan pelajar itu telah menjalani pemeriksaan di hospital dan hasil pemeriksaan tidak mempunyai apa-apa unsur penderaan.

“Setakat ini, tiada ibu bapa pelajar lain yang membuat laporan polis,” katanya ringkas dalam satu kenyataan.

Semalam Malaysia Gazette melaporkan, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki mendera kanak-kanak di sebuah pusat tahfiz di Taman TAR di sini pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, pasangan tersebut yang juga pemilik pusat tahfiz ditahan sepasukan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan di premis berkenaan, polis turut menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara tujuh hingga 15 tahun yang mendakwa didera oleh kedua-dua suspek.

“Kita terima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang menghantar anak lelakinya ke pusat tahfiz itu.

“Bagaimanapun, pengadu mendapati anaknya berada dalam keadaan ketakutan dan menangis ketika dipeluk serta menyatakan tidak mahu lagi bersekolah,” katanya. – Malaysia Gazette

 

Pasangan suami isteri disyaki dera pelajar tahfiz ditahan