logo polis
Gambar hiasan

AMPANG – Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki mendera kanak-kanak di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak (TAR) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pasangan tersebut yang juga pemilik pusat tahfiz ditahan sepasukan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan di premis berkenaan, polis turut menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara tujuh hingga 15 tahun yang mendakwa didera oleh kedua-dua suspek.

“Kita terima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang menghantar anak lelakinya ke pusat tahfiz itu.

“Pengadu telah pergi ke sana pada Jumaat lepas sekitar pukul 6.30 petang untuk membayar yuran sekolah dan bertemu anaknya yang berusia tujuh tahun.

“Bagaimanapun, pengadu mendapati anaknya berada dalam keadaan ketakutan dan menangis ketika dipeluk serta menyatakan tidak mahu lagi bersekolah di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, selepas berbuka puasa, pengadu telah membawa anaknya pulang ke rumah dan dimaklumkan mengenai kejadian di mana suspek lelaki yang berusia 32 tahun menumbuk belakang tengkuk, memukul serta merotan di bahagian kaki dan tangan mangsa.

Tambah beliau lagi, kanak-kanak tersebut turut memaklumkan kepada ibunya bahawa suspek wanita berusia 52 tahun itu turut menampar pipinya sebanyak empat kali.

“Kesemua pelajar di pusat tahfiz itu telah dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati anak lelaki kepada pengadu mengalami kesan kecederaan baharu dan lama pada keseluruhan badannya.

“Semakan awal juga menunjukkan pusat tahfiz itu tidak mempunyai sebarang lesen dari kerajaan tempatan dan kebenaran dari Jabatan Agama Islam Selangor,” ujarnya.

Difahamkan pusat tahfiz itu mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu dan rakaman percakapan serta pemeriksaan hospital pelajar lain masih dalam siasatan untuk mengetahui sama ada wujud unsur penderaan atau sebaliknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya. – Malaysia Gazette