Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman memotong kunci pintu untuk memasuki premis yang disyaki menjadi tempat aktiviti perjudian atas talian ketika serbuan di sekitar Jalan Pinggiran USJ, Subang Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menyerbu lima premis rumah kedai yang menjalankan kegiatan judi haram secara dalam talian di Jalan Pinggiran USJ 1/9, Subang Jaya kira-kira jam 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, serbuan itu dijalankan bagi memastikan aktiviti judi haram itu tidak beroperasi lagi di situ.

“Petang ini kita adakan satu operasi untuk membasmi premis-premis judi dalam talian yang masih berjalan.

“Kita sudah dapat satu arahan daripada mahkamah untuk menggeledah premis-premis tersebut bagi memastikan judi dalam talian ini dibasmi sepenuhnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam serbuan itu, pihaknya mendapati tiada sebarang aktiviti perjudian dikesan bahkan polis tidak menjumpai sebarang peralatan judi dan dipercayai sudah dikosongkan lebih awal sebelum serbuan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman menunjukkan premis yang disyaki menjadi tempat aktiviti perjudian atas talian ketika serbuan di sekitar Jalan Pinggiran USJ, Subang Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 APRIL 2021.

“Kita telah pecahkan salah satu premis dan kita lihat peralatannya sudah tiada malah kita dapati bekalan elektrik juga telah diputuskan

“Setakat ini kita buat dua serbuan tapi premis kosong tiada apa-apa, tidak ada peralatan judi online,” katanya.

Jelas Abd Khalid, dalam serbuan itu, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kesemua lima premis yang digeledah hari ini tidak beroperasi.

“Hari ini kita ingin pastikan premis-premis ini tidak berfungsi lagi atau tidak beroperasi lagi. Terdapat maklumat mengatakan tempat-tempat ini masih berfungsi di waktu malam.

“Hari ini kita panggil semua media untuk melihat sendiri adakah masih ada saki baki yang ada atau masih berfungsi,” katanya.

Menurutnya, kesemua lima premis itu merupakan sebahagian daripada tujuh premis yang diserbu pihaknya pada awal tahun ini hasil maklumat orang ramai.

“Sejak Februari hingga April, di kawasan ini ada tujuh tempat yang kita laksanakan operasi. Pada hari ini kita ada beberapa sasaran yang kita telah ambil tindakan bagi memastikan kegiatan-kegiatan judi ini telah dibasmikan sepenuhnya di kawasan itu.

“Kalau kita tengok premis ini, pada awal tahun ini ia beroperasi dari Februari hingga April tahun ini, dan sepanjang tempoh itu, kita telah membuat tujuh serbuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast