KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan seorang wanita kononnya permohonannya untuk merentas negeri bagi membawa bapanya yang sakit ke hospital ditolak.
Sebaliknya siasatan awal polis mendapati segala dakwaan wanita itu adalahpalsu kerana tiada sebarang rekod kehadiran dalam buku rekod pendaftaran serta aplikasi MySejahtera di balai polis berkaitan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Annas Sulaiman berkata, siasatan dibuat ekoran satu hantaran tular di media sosial oleh seorang wanita mendakwa polis tidak membenarkan rentas negeri bagi tujuan membawa bapanya yang sakit ke hospital.
“Wanita tersebut menyatakan telah membuat permohonan merentas negeri bagi tujuan membawa bapanya ke Pusat Dialisis di Nilai, Negeri Sembilan.
“Beliau juga menyatakan semasa membuat permohonan telah mengemukakan beberapa dokumen seperti surat dialisis dan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) milik bapanya sebagai lampiran merentas negeri, namun ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Annas, wanita itu bertindak meluahkan rasa kecewanya melalui akaun media sosial mendakwa polis tidak berperikemanusian dan sedih berikutan perkara tersebut didakwa mengakibatkan kematian bapanya pada 28 April lalu.
Bagaimanapun Annas berkata, semakan lanjut polis terhadap dakwaan wanita itu serta pemeriksaan terhadap rekod permohonan rentas negeri mendapati empat permohonannya untuk merentas negeri ke Seremban dan Melaka dibenarkan sebelum ini.
Ujar beliau, pada 15 Januari lalu sekitar jam 12.07 tengahari wanita itu atas alasan melawat bapanya di Hospital Mawar di Seremban telah dibenarkan dan pada 11 Februari lalu dan sekitar jam 11.17 pagi sekali lagi permhonan wanita itu untuk alasan urusan keluarga di Melaka juga diluluskan.
“Justeru pada 26 April lalu sekitar jam 12.15 tengahari wanita itu ada membuat permohonan rentas negeri bagi tujuan menghadiri temuduga kerja di Melaka dan dibenarkan dan pada 28 April lalu jam 8.04 pagi dia memohon untuk tujuan menziarahi kematian bapanya di Nilai, Negeri Sembilan juga dibenarkan.
“Semakan melalui aplikasi MySejahtera Balai Polis Salak Selatan mendapati tiada rekod kehadiran beliau ke balai.
“Malah semakan lanjut terhadap buku pelawat juga tiada rekod daftar masuk pada tarikh 17 April 2021 seperti yang dilaporkan di dalam sebuah portal media tempatan.
“Oleh yang demikian tiada sebarang rekod permohonan rentas negeri yang direkodkan seperti yang dinyatakan oleh beliau pada tarikh tersebut,” ujarnya.
Berkenaan dengan dakwaan berlaku kekasaran tingkah laku anggota polis, pihaknya masih menjalankan siasatan.- MalaysiaGazette