KUALA LUMPUR – Bersempena Hari Pekerja yang disambut hari ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap semua pekerja dalam negara berada dalam keadaan stabil.
Dalam masa yang sama beliau turut mendoakan agar kira-kira 800,000 rakyat yang masih menganggur akan mendapat pekerjaan tidak lama lagi.
“Semoga saudara-saudari diberikan berkat pendapatan dan kestabilan pekerjaan.
“Ramai terkesan akibat ekonomi kita yang lemah pada 2018 2019. Ditambah pula kerajaan kini kurang berkesan, gagal, dalam menangani ancaman Covid-19 malah pemulihan kita dari segi ekonomi juga,” katanya menerusi laman Facebook.
Najib turut membandingkan status pekerjaan Ahli Parlimen yang jauh berbeza dengan pekerja lain apabila sehingga kini sidang Dewan Rakyat masih belum bersidang.
Justeru, beliau menganggap Ahli Parlimen bercuti setiap hari.
“Saya doakan agar saudara-saudari semua dipermudahkan segala urusan, dimurahkan rezeki.
“Bagi kami yang bekerja di Parlimen, masih seperti biasa. Agak pelik status kami.
“Setiap hari, masih bercuti. Tempat kerja tinggal kenangan,” katanya lagi.
Dewan Rakyat diumumkan tidak akan bersidang sehingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan Covid-19 selepas Proklamasi Darurat dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, pelbagai pihak khususnya parti pembangkang mempersoalkan keputusan itu. – MalaysiaGazette