PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberitahu ada negeri-negeri yang memohon untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan angka kes Covid-19.
Menurut Annuar, perkara itu dibincangkan menerusi Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dihadiri olehnya.
“Tetapi apa-apa pengumuman mestilah dibuat oleh Menteri Kanan Keselamatan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
“Permohonan dari negeri-negeri itu kerana jumlah peningkatan kes yang tinggi dan juga kebarangkalian kes akan terus meningkat.
“Yang kedua, kapasiti hospital di negeri berkenaan juga semakin penuh jadi mereka mahu mengambil langkah (PKP) itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Ramadan di Perbadanan Putrajaya hari ini.
Pada program itu, Annuar menyampaikan naskhah Al-Quran Mushaf Putrajaya kepada golongan asnaf yang hadir serta diedarkan kepada masjid, surau Jumaat, surau sekolah dan surau pejabat di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, kerajaan berkemungkinan mengambil pendekatan untuk menguatkuasakan PKP secara bersasar bagaimanapun, butiran lanjut hanya akan diumumkan oleh menteri.
“Untuk Kuala Lumpur kita akan bawa ke perbincangan untuk PKP dilakukan secara bersasar bermakna kita akan tengok mana kawasan atau tempat yang perlu diperketatkan kawalan.
“Secara keseluruhan, kalau pun kawasan itu tidak termasuk dalam senarai sebagai hotspot tetapi peningkatan pematuhan perlu dibuat secara menyeluruh.
“Kita juga minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tambah semua anggota untuk pemantauan selain penganjur program seperti persatuan dan badan-badan berkaitan dikehendaki menambah jumlah anggota untuk buat pemantauan,” ujarnya. – Malaysia Gazette