KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut setelah jatuh dari tingkap bilik tingkat tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Jalan Aman Putra, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, menurut laporan itu, dalam kejian pukul 6 petang itu mangsa dikatakan telah terjatuh dari tingkap bilik tidur ketika bermain di atas katil bertingkat.
“Pasukan polis dari Balai Polis Jinjang telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati mangsa dikatakan sedang bermain bersama abang, kakak dan sepupunya di atas katil bahagian atas (katil bertingkat) bersebelahan dengan tingkap yang berada dalam bilik pertama rumah mangsa.
“Menurut pengadu, katil berkenaan telah dirapatkan ke bahagian tingkap untuk mengemas bilik tersebut. Siasatan mendapati tingkap di dalam bilik tersebut tidak mempunyai pagar (grill) dan katil telah diletakkan di tengah tingkap tanpa sebarang halangan sebelum bayi itu terjatuh semasa bermain.
“Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, sejurus selepas kejdian, ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang, Selangor untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, ketika kejadian bayi tersebut sedang bermain dengan dua abang kandung berusia 14 dan enam tahun, kakak kandung berumur 11 tahun, tiga sepupu termasuk seorang sepupu lelaki masing-masing berusia 4, 3 dan 2 tahun.
Katanya, apabila tiba di Unit Kecemasan Hospital Selayang, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan.
“Mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Hasil laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette