Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan usaha untuk meraih dana politik mencecah puluhan ribu ringgit daripada pihak ketiga bagi menjalankan program politik di Shah Alam.

Kesal dengan tindakan individu yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti sumbangan itu, Nor Hizwan telah membuat laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya, semalam.

Menurut laporan polis itu, Nor Hizwan telah menerima satu pesanan WhatApps daripada rakan pejabatnya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Rakannya ingin mendapatkan kepastian tentang seorang individu dipercayai telah menggunakan nama beliau untuk meminta sejumlah wang bernilai RM40,000 daripada pihak lain.

“Pada 3 Mei 2021 lebih kurang 3.24 petang ketika dia berada di dalam kereta di sekitar Taman Kosas Ampang, beliau telah menerima satu pesanan WhatsApp daripada rakan sepejabat bertanyakan seorang individu.

“Setelah melihat gambar individu tersebut, beliau yakin beliau tidak mengenalinya.

“Turut dihantar kepada beliau dua tangkap layar kononnya beliau telah ditemui individu tersebut dan telah berbincang dengannya tentang beberapa perkara membabitkan pemberian tunai kepada beliau sebanyak RM40,000,” kata Nor Hizwan menerusi laporan polisnya yang dibuat di Balai Polis Ampang Jaya, kira-kira jam 9.52 malam, semalam.

Dalam pada itu, Nor Hizwan juga meminta individu yang telah menggunakan nama beliau atas tujuan tersebut agar segera membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Ia bagi membersihkan nama beliau, pejabat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Zuraida Kamaruddin,” katanya. – MalaysiaGazette