Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan gambar antara individu dalam tangkapan kes melibatkan permohonan pembiayaan peribadi menggunakan dokumen palsu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis memburu 34 individu bagi membantu  siasatan berhubung sindiket penipuan pinjaman peribadi di sebuah institusi kewangan di sini dengan menggunakan dokumen palsu.

Dua suspek telah tampil untuk membantu siasatan sebelum ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, seorang pegawai institusi kewangan telah membuat laporan bahawa pihaknya telah melulus dan membayar RM4.7 juta kepada 34 individu yang membuat permohonan pinjaman peribadi itu.

Katanya, dengan bantuan kakitangan di institusi perbankan tersebut, 34 individu terbabit yang berumur antara 24 hingga 45 tahun itu mengemukakan dokumen dan penyataan palsu untuk mendapatkan kelulusan pinjaman.

“Bertindak atas aduan polis itu, pada 1 Mei lalu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK (Ibu Pejabat Kontijen) telah berjaya membuat tangkapan di tiga lokasi berlainan di Lembah Klang terhadap lapan lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan ini dan enam daripadanya adalah pegawai institusi kewangan itu dan dua lagi suspek merupakan ejen sindiket itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, sindiket ini menyasarkan individu yang tidak layak memohon pinjaman yang disenarai hitam, tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurut Azmi, mereka menyediakan dokumen sokongan untuk bakal peminjam seperti surat lantikan kerja dan penyata kewangan palsu bagi melayakkan peminjam mendapat pembiayaan .

Ujar beliau, enam kakitagan yang bekerja di institusi kewangan itu didapati akan meluluskan pembiayaan tanpa melakukan pemeriksaan rapi dan pengesahan ke atas dokumen yang dikemukakan.

“Selepas pembiayaan peribadi itu diluluskan, peminjam berkenaan hanya menerima 30 peratus daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan bank itu.

“Bakinya akan disimpin oleh sindiket termasuk pegawai bank dengan alasan mereka akan membayar ansuran bulanan selama 20 bulan dan selebihnya adalah komisyen atas kerja yang mereka telah lakukan,” katanya sambil menambah penipuan tersebut dilakukan bermula akhir 2019.

Azmi berkata, secara purata setiap seorang daripada 34 suspek ini diluluskan pinjaman berjumlah RM150,000 dan ke atas.

Tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Asisten Superintendan Mohamed Hanafiah Mohamed Nawi di talian 012-6044600 atau 03-8886 2222. – MalaysiaGazette