Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kewangan Negara hari ini meluluskan penambahbaikan pemberian dan sokongan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada negeri-negeri bagi tahun ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penambahan itu sebagai tanda komited kerajaan dalam memastikan hubungan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan peruntukan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup atau lebih dikenali sebagai Pemberian TAHAP kepada semua kerajaan negeri daripada RM350 juta kepada RM400 juta.

“Peningkatan peruntukan ini adalah bagi tujuan membiayai aktiviti Ecological Fiscal Transfer sebagai insentif tambahan kepada Kerajaan Negeri untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara,” kata kementerian itu.

Selain tambahan RM50 juta bagi Pemberian TAHAP, kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri berjumlah RM440 juta bagi membantu kerajaan negeri yang mengalami defisit.

Menurut Kementerian Kewangan, ia bagi menguruskan hal ehwal kewangan dan melaksanakan projek pembangunan masing-masing.

Turut disalurkan adalah peruntukan berjumlah RM260 juta kepada Kerajaan Negeri bagi membantu negeri melaksanakan projek-projek berskala kecil pada peringkat akar umbi.

“Agihan pertama sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada negeri-negeri dengan had maksimum bagi setiap projek ditetapkan pada RM100,000 melalui kaedah cabut undi untuk memastikan pengagihan peruntukan dapat memanfaatkan kontraktor kecil Bumiputera secara saksama,” kata kementerian itu lagi.

Selain itu, Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya Garis Panduan Tatacara Penggunaan Pemberian MARRIS ditambah baik antaranya termasuk perluasan takrifan penyenggaraan jalan negeri.

Keputusan itu kata Kementerian Kewangan diharapkan dapat memberi fleksibiliti kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan mengikut keutamaan dan kesegeraan di negeri masing-masing seterusnya menjamin keselamatan rakyat terutamanya pengguna jalan raya.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari semua negeri. – MalaysiaGazette