Logo Affin betul
Logo Affin Bank

KUCHING – Pengumuman untuk memuktamadkan pengambilalihan pegangan majoriti dalam Affin Bank Bhd oleh kerajaan Sarawak akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu lagi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya semua urusan bagi memperoleh pegangan terbesar dalam bank itu serta keperluan untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai perkara berkenaan telah diselesaikan.

“Kita ingin mengambil alih bank ini tidak lama lagi. Semuanya sudah beres (selesai). BNM juga telah beres. Anda dengar sahaja pengumuman dalam masa seminggu ini,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-100 Rumah Samu di sini hari ini.

Rumah Samu adalah rumah panjang di Ulu Paku, Betong, kira-kira 260 kilometer dari sini.

Pada 30 Julai lepas, Abang Johari dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak dijangka memuktamadkan perjanjian jual dan beli (SPA) berhubung penambahan pegangan saham Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam tempoh sebulan.

Menurut Abang Johari, BNM telah memberi kelulusan bersyarat, justeru SPA berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.

Pada 8 Jan 2024, Affin Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata LTAT sebagai pemegang saham utamanya mengesahkan sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk “kemungkinan urus niaga membabitkan saham tambahan.”

Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796 peratus kepentingan ekuiti dalam Affin Bank setakat 29 Dis 2023 manakala LTAT sebagai pemegang saham terbesar dengan pegangan 28.78 peratus. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast