Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Utamakan rakyat tempatan sekiranya benar kerajaan mahu melaksanakan perintah gaji minimum.

Melalui cara itu mereka akan dapat mendapat pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Menetapkan gaji minimum pada kadar semaksimum mungkin bukan mudah kerana terdapat banyak halangan daripada pihak swasta. Majikan swasta terutama pengilang enggan memberikan gaji minimum kerana mereka boleh mendapatkan pekerja asing dengan mudah dan murah.

“Mereka juga mengugut memindahkan pelaburan ke luar negara dengan situasi ini seringkali berlaku di negara-negara yang sedang membangun.

“Jika benar kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum semaksima yang boleh, saya amat menyokongnya. Ia sesuatu yang baik untuk rakyat kerana mereka terbeban dengan kos sara hidup ketika ini. Namun perlu diingat peningkatan gaji minimum bakal mengundang lebih ramai pekerja dari luar yang mahu mendapatkan tawaran gaji lumayan,” ujarnya dalam satu kenyataan Facebooknya hari ini.

Lagi pun, menurut Ahmad Zahid,  baru-baru ini ada seorang menteri menyatakan ekonomi Malaysia dalam keadaan stabil dan banyak pelaburan langsung asing (FDI) berjaya dibawa masuk, jadi ia adalah masa bersesuaian untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Berdasarkan gaji minimum yang dilaksanakan ketika ini, bayaran RM1,200 dibuat di 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran di seluruh negara.

Bagi kawasan selain wilayah bandar utama, kadar gaji minimum kekal pada bayaran RM1,100.

“Menetapkan gaji minimum pada kadar semaksimum mungkin bukan mudah kerana terdapat banyak halangan daripada pihak swasta.

“Majikan swasta terutama pengilang enggan memberikan gaji minimum kerana mereka boleh mendapatkan pekerja asing dengan mudah dan murah. Mereka juga mengugut memindahkan pelaburan ke luar negara dengan situasi ini seringkali berlaku di negara-negara yang sedang membangun.

“Pernah ada sebuah gabungan parti politik memberi tawaran untuk meningkatkan gaji minimum sehingga RM1,500. Janji-janji itu dijadikan modal untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

“Tetapi apabila memerintah, janji hanya tinggal janji. Ramai yang belum lupa dengan janji itu, dan ramai juga yang termakan dengan janji tersebut.

“Sekitar tahun 1980-an seorang menteri turut melaungkan insentif buruh murah untuk menarik kehadiran pelabur seperti Motorola, Robert Bosch, Western Digital dan National Semiconductor. Pada masa itu kesatuan sekerja tidak dibenarkan untuk ditubuhkan. Jika dibenarkan, saya percaya kesatuan itu akan mengadakan demonstrasi di Parlimen.

“Apa-apa pun katanya, dalam kesibukan membincangkan gaji minimum kita lupa gaji menteri.

“Rekod memperlihatkan gaji timbalan menteri dan menteri adalah sekitar RM30,000 hingga RM60,000 sebulan. Sewaktu Ordinan Darurat dilaksanakan ada kalanya kita tidak dapat melihat menteri dan timbalan menteri berkenaan.

“Al maklumlah Parlimen tidak bersidang. Mereka semua sibuk turun padang berjumpa rakyat dan bukan bercuti,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast