KUALA LUMPUR – Pengajur Starvendors Mega Raya Fest 2021 mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM500,000 berikutan pembatalan program itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), kelmarin.

Pengurus operasi, Ariff Budiman berkata, kerugian itu disebabkan kerja-kerja promosi yang dijadualkan bermula hari ini.

“Kami terpaksa tanggung pelbagai kos, pemasangan khemah, billboard, promosi dan dekorasi. Ini yang terpaksa kami tanggung.

“Malah ramai penjual bergolok gadai untuk penuhkan jayakan program ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors Sdn. Bhd, Ifa Raziah berkata, program yang menghimpunkan lebih 300 gerai itu dibatalkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bermula hari ini diumumkan.

Ifa berkata, pihaknya akan memulangkan semula bayaran yang telah dibuat oleh vendor atau penyewa tapak.

Starvendors Mega Raya Fest 2021 sepatutnya bermula hari ini sehingga Ahad depan.

Ariff berkata, pihaknya terkilan dengan pembatalan itu kerana penganjuran program itu telah mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ada peniaga yang datang dari Johor, Pulau Pinang malah ada yang dah sampai tempah bilik hotel.

“Sepatutnya MKN (Majlis Keselamatan Negara) kena semak dulu, kalau ada apa-apa program besar masa itu. Setidak-tidaknya bagi kami tempoh seminggu pengumuman PKP, itu pun dah memadai. Peniaga ada masa nak jual barangan.

“Memang DBKL bagi kebenaran, tapi bila laksana PKP, tiada siapa yang boleh datang. Kalau kami teruskan program, kesian kepada peniaga, tak kan ada pengunjung yang datang. Kami juga akan dipersalahkan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ariff berkata, ia merupakan kejadian kali kedua yang menimpa penganjur.

Katanya, perkara sama pernah berlaku kepada mereka ketika pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu.

“Kami terpaksa batalkan apabila MKN mengumumkan PKP 1.0 perlu dilakukan, dan kami terpaksa memulangkan semula deposit.

“Tapi tahun lepas kami ada tempoh sebulan sebelum program, jadi kos yang dikeluarkan, tak tinggi,” keluh Ariff.

Bagaimanapun, menurut Ariff program yang dibatalkan itu akan ditunda ke bulan Julai depan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semua tau negara sdg dilanda covid19. Sepatutnya tk payah la bk anjur itu ini besar-besaran yg melibatkan kos yg tinggi. Duduk dlm keadaan berjaga-jaga ni sebarang kemungkinan akan berlaku. Yg pi dok gagah nk buat jgk tu tk reti nk pikiaq ka. Mmg la semua org nk cari duit. Tapi tgok kpd keadaan semasa la. Dari rungutan tu dah tentu depa cuba nk menyalahkan kerajaan laksanakan PKP.
    Dlm keadaan hari ni tk payah la nk apa jenis acara pun yg melibatkan kehadiran ramai org.

Comments are closed.