Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menafikan wujudnya kes culik melibatkan dua warga Bangladesh dan seorang remaja bawah umur yang ditularkan sebuah portal pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, remaja berkenaan telah keluar bersama dua lelaki berkenaan yang merupakan rakan ibunya untuk membeli barang.

“Pada 7 Mei 2021, IPD (Ibu Pejabat Polis) Klang Utara telah melihat satu terbitan di laman sosial yang dikeluarkan portal hiburan Oh!Media berkenaan satu kes culik melibatkan dua lelaki Bangladesh dan seorang budak bawah umur.

“Pihak polis mengesahkan tiada kes culik seperti yang telah diviralkan pada 5 Mei 2021, remaja berkenaan telah keluar bersama dua lelaki Bangladesh yang merupakan rakan ibunya untuk membeli barang.

“Pihak polis juga mengesahkan remaja tersebut kini berada bersama keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Rabu lalu, portal hiburan Oh!Media dalam hantaran di Facebook miliknya menyiarkan kejadian kes culik melibatkan remaja bawah umur dan dua warganegara Bangladesh ditahan di Tol Bukit Raja, Klang.

Dalam hantaran itu, turut dimuat naik tiga keping gambar menunjukkan seorang pemandu Grab sedang membawa ketiga-tiga suspek

Dalam pada itu, polis katanya, sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

“Tindakan akan diambil ke atas individu yang menyebarkan perkara tidak benar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – MalaysiaGazette