KUALA LUMPUR – Suasana di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang kebiasaannya sesak dan meriah dengan kebanjiran penumpang untuk pulang ke halaman kampung menjelang 1 Syawal kini lenggang dan sunyi sepi meskipun empat hari lagi sambutan Aidilfitri.
Kaunter-kaunter tiket bas ekpress yang lazimnya penuh dan sesak dengan barisan panjang penumpang tidak lagi kelihatan kali ini.
Suasana ini pastinya ada kaitan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari hingga 20 Mei ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di ibu negara.
Meskipun begitu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati bas ekpres masih beroperasi cuma jumlahnya sangat terhad.
Walaupun keadaan TBS lengang, di luar kebiasaaannya tetapi tempat ini dipantau ketat oleh polis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang ditemui ketika turun padang secara mengejut di sini mengakui setiap penumpang di balai ketibaan TBS dan berlepas akan diperiksa secara ketat oleh polis.
Seramai 20 anggota polis bantuan dengan disokong kakitangan TBS dan juga Pasukan Pematuhan SOP dari IPD Cheras akan memantau TBS.
“Sesiapa sahaja yang ingin membeli tiket di kaunter-kaunter tiket bas ekspres di TBS perlu menyerahkan surat rentas negeri polis yang sah di kaunter penjualan tiket bagi pemeriksaan dan pengesahan sebelum tiket dijual,’ katanya ketika ditemui di TBS petang tadi.
Pemeriksaan ini dibuat selepas penjual tiket mengesan keraguan borang kebenaran rentas negeri bagi borang yang ditunjukkan oleh pembeli tiket.
Borang itu kemudian dirujuk kepada pondok polis serta pembeli tiket tersebut dikenakan kompaun.
Menurutnya, SOP di TBS ketika ini 100 peratus ketat.
“Semua bas yang tiba di TBS ini adalah dari luar KL iaitu dari Pahang, Johor dan Pulau Pinang, jadi kita memeriksa secara teliti surat kebenaran penumpang bagi elak ketirisan.
“Saya juga memerhatikan penumpang di dalam bas, yang mana dikehendaki mengimbas kod MySejahtera sebelum menaiki bas untuk destinasi yang ditujunya kerana tiga minggu lalu ada kes penumpang bas dikompaun kerana gagal mengimbas kod MySejahtera sebelum bas bertolak.
“Pada bulan lalu kita menahan satu es di sini iaitu seorang penumpang tiba di balai ketibaan TBS dengan memakai gelang merah jambu di tangannya sebelum ditahan polis bantuan dan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
“Saya seru masyarakat untuk terus mematuhi SOP PKP, PKPB, PKPP supaya bersama-sama kita memutuskan rangkaian Covid-19, dan elak kunjungi kompleks sempit dan sesak,” katanya. -MalaysiaGazette