Pelanggan dilihat beratur dengan penjarakan sosial sewaktu menunggu giliran membeli barang basah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Pasar Tani Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

SHAH ALAM – Sebanyak 16 pasar tani dan empat pasar agro akan dibuka di seluruh Selangor sempena Aidilfitri bermula hari ini hingga Rabu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian, Perladangan dan Industri Asas Tani Selangor, Dr Izham Hashim berkata, ia bagi memastikan bekalan keperluan bagi persiapan Aidilfitri mencukupi.

“Sepanjang tiga hari ini kita khususkan untuk menyediakan bekalan makanan atau asas untuk persiapan Aidilfitri.

“Kita pastikan bekalan daging terutamanya daging lembu, ayam dan santan, tiga produk utama untuk persiapan Aidilfitri mencukupi,” katanya pada sidang media di Pasar Tani Seksyen 13, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Pengarah FAMA Selangor Abdul Rashid Bahri membuat tinjauan di Pasar Tani di pekarangan Stadium Shah Alam.

Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri Selangor juga telah memperuntukkan sehingga RM50,000 subsidi kepada tiga produk utama pada perayaan kali ini.

“Harga bagi daging kita bagi subsidi satu kilogram (kg) dengan potongan harga sebanyak RM5 setiap kg sehingga habis bekalan.

“Ayam kita bagi RM3 seekor dan santan RM2 setiap kg.

“Ini dapat meringankan beban kepada pengunjung khususnya umat Islam yang membuat persiapan menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.

Katanya lagi, untuk pasar tani dan pasar agro kali ini, kerajaan negeri turut mempuntukkan sehingga 5,000 ekor ayam, kg daging lembu dan kg santan setiap kawasan.

“Ini antara tiga produk utama bagi persiapan Aidilfitri di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam hari ini.

“Empat Pasar Agro ada di Pandan Taman Cempaka, Dengkil, Sungai Air Tawar Sabak Bernam dan Banting,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri konsisten untuk memastikan operasi pasar tani dan pasar agro diteruskan walaupun enam kawasan di Selangor sedang menjalani PKP 3.0 sejak 6 Mei lalu.

“Selanr Agro Market sejak tahun lepas PKP 1.0 memang dibenarkan, ia nak menjamin bekalan makanan tidak terputus.

“Sebab itu kita pakai benda yang sama, kita jaga SOP dan yakin semua akan berjalan dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast