Salah seorang mangsa perempuan yang cedera selepas letupan di sebuah sekolah di Kabul. foto Reuters

KABUL – Letupan berhampiran sebuah sekolah menengah di sini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan lebih daripada 100 orang cedera.

Kejadian itu berlaku ketika pelajar meninggalkan bangunan pada hari Sabtu, dengan gambar di media sosial yang menunjukkan beg sekolah bersepah di tepi jalan selepas letupan berlaku.

Sebilangan besar mangsa adalah kanak-kanak perempuan, kata jurucakap kementerian pendidikan.

Setakat ini belum ada pihak yang mengaku melakukan serangan di Dasht-e-Barchi – kawasan yang sering diserang.

Pegawai kerajaan Afghanistan menyalahkan militan Taliban atas serangan itu, tetapi kumpulan itu membantah penglibatannya.

Letupan dipercayai berlaku disebabkan oleh bom kereta dan dua alat letupan buatan yang ditanam di kawasan itu.

Kawasan kejiranan di barat Kabul adalah rumah bagi banyak masyarakat minoriti Hazara, yang berketurunan Mongolia dan Asia Tengah dan kebanyakannya adalah dalam kalangan Muslim Syiah.

Hampir tepat setahun yang lalu, sebuah wad bersalin di hospital tempatan diserang, menyebabkan 24 wanita, kanak-kanak dan bayi terkorban.

Sasaran tepat untuk pertumpahan darah yang berlaku semalam masih tidak jelas.

Letupan yang berlatarbelakangkan keganasan itu yang semakin meningkat ketika Amerika Syarikat menyatakan hasrat untuk menarik balik semua tenteranya dari Afghanistan pada 11 September ini.

Laporan media Kabul mengatakan bandar itu sibuk dengan pembeli menjelang Aidilfitri minggu depan.- MalaysiaGazette