KUALA LUMPUR – Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus beroperasi.
Ia membabitkan LRT KLCC, LRT Masjid Jamek, KL Sentral, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral
Bagaimanapun, semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan di bawah akan ditutup selama tiga hari daripada 9 hingga 11 Mei ini mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) pada 8 Mei 2021.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkata, sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan itu adalah tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.
Menurutnya, perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara terutama bagi barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.
Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan.
Tambahnya, stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu (thermal scanners) disamping penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.
Dalam masa sama, MOT mengingatkan kepada semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP di semua stesen dan terminal termasuk penggunaan ‘hand sanitiser’, memakai pelitup separuh muka dan menjaga jarak fizikal sebaik mungkin serta mengimbas kod QR MySejahtera. – MalaysiaGazette