KUALA LUMPUR – Impian untuk memiliki lagu raya sendiri tercapai apabila penyanyi berbakat besar, Amir Masdi melancarkan single raya berjudul Hari Ini Hari Raya.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shazee dan Altimet adalah buah tangan terbaharu Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi yang dianggap kena dengan dirinya, sekali gus menjadi hiburan halwa telinga peminat.
Menariknya mengenai lagu raya itu, Amir yang juga finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 lalu berkata, lirik lagu ini berkonsepkan pesanan harian.
“Lagu ini secara asasnya mengenai raya. Cuma ia lebih kepada luahan hati dan pesanan buat yang mendengar. Lirik disampaikan dalam bentuk kasual, macam memberi pesanan. Pendek kata ia bukan macam lagu raya lain.
“Boleh dikatakan saya merakamkan lagu ini agak last minute juga iaitu pada dua minggu lepas. Saya rakam lagu pada Rabu dan penggambaran video muzik pula pada Jumaat minggu itu. Pada pagi Jumaat itu, pengurus menghubungi saya dan ajak untuk shoot video muzik.
“Pada waktu itu juga barulah fikir idea dan konsep video muzik. Alhamdulillah, hasilnya menarik. Video muzik ini membabitkan saya seorang saja tapi saya ditampilkan dalam karakter yang pelbagai. Jadi, konsep video muzik lagu ini memang lain,” katanya yang berusia 25 tahun.
Menurut Amir, lagu Hari Ini Hari Raya juga adalah lagu raya pertama yang dirakamkan sepanjang pembabitan dalam bidang nyanyian.
“Sebelum ini tidak pernah terfikir nak rakam lagu raya. Kebetulan tahun ini dapat lagu raya yang menarik. Kalau nak tahu, pada asalnya nak lancar lagu ketuhanan, tapi tak puas hati sangat, jadi tak jadi buat.
“Apabila dapat lagu ini, saya dan syarikat rakaman suka dengan melodi. Itu yang ambil keputusan untuk rakam lagu ini. Malah, ini adalah kerjasama pertama saya dengan kedua komposer ini.
“Secara peribadi, melodi lagu ini lebih rapat dengan pendengar dan saya sendiri. Sebelum ini, saya tak biasa nyanyi lagu ceria, jadi lagu ini saya pilih sebab nak bagi orang dengar selain ia adalah nyanyian saya,” katanya.
Sementara itu, Amir berkata, walaupun lagu itu tidak boleh dibandingkan dengan kebanyakan lagu raya popular dan evergreen lain, lagu Hari Ini Hari Raya tetap memiiki kelebihan dan keunikan tersendiri.
“Kalau nak kata lagu ini boleh setanding dengan lagu raya evergreen lain, sejujurnya biarlah rezeki yang menentukan perkara itu. Lagi pula, lagu raya lama memang kuat aura.
“Signature lagu raya sudah melekat dalam lagu itu.
“Macam lagu raya baru sekarang ia lebih kepada untuk segarkan telinga pendengar. Malah untuk penyanyi itu sendiri juga lebih kepada untuk profil kerjaya mereka. Macam saya, memang nak ada lagu raya sendiri.
“Jadi, apabila keluarkan lagu raya ini, ia bukan untuk kalahkan lagu raya sedia ada. Sekurang-kurangnya kehadiran lagu raya saya ini memeriahkan lagi suasana sambutan raya tahun ini,” katanya.
Berkongsi mengenai kenangan setiap kali menyambut hari raya, Amir yang meminati lagu raya Cahaya Aidilfitri nyanyian Black Dog Bone berkata, dia sangat merindui suasana beraya dan juadah raya di kampung.
“Saya paling terkenang makanan. Selalunya makanan di kampung rasanya lain sebab orang tua masak jadi ia istimewa. Kalau orang lain sibuk bermain mercun, saya lebih suka makan, menonton TV dan layan filem P Ramlee ramai-ramai.
“Jadi, apabila tak balik kampung sejak tahun lalu, mak yang masak, tapi tak sama ‘vibes’ kalau beraya di kampung. Lagi pula, di kampung banyak menu lain dan menarik terutama kalau pergi berziarah. Kalau di KL apa yang ada saja. Paling tidak pun makan di kedai makan,” katanya.
Lagu Hari Ini Hari Raya sudah boleh distrim di semua platform muzik digital bermula semalam dan video muzik lagu itu boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.
Peminat boleh mendengarnya di pautan video muzik lagu Hari Ini Hari Raya https://www.youtube.com/watch?v=JLFXmNqzU-E
– MalaysiaGazette