Universiti Limkokwing kini telah mengembangkan semangat cintakan negara dan kesukarelawanan di kalangan belia di seluruh Malaysia.

KUALA LUMPUR – Nelson Mandela cukup dikenali dunia namun tidak ramai mengetahui pengasas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing adalah antara tulang belakang kepada kejayaan dikecapi bekas Presiden Afrika Selatan itu.

Sumbangan Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing kepada negara itu juga amat besar terutama dalam membebaskan rakyat Afrika Selatan daripada penjajahan Inggeris.

Semuanya bermula lebih dua dekad lalu apabila Kok Wing diarahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu Mandela dan partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkempen pada pilihan raya demokratik negara itu yang pertama dari penghujung tahun 1993 sehingga awal tahun 1994.

Tugas itu bukan semudah yang dijangka malah pelbagai cabaran dihadapi oleh Kok Wing bagi memastikan misi tersebut berjaya.

Beliau menerima tanggungjawab tersebut kerana berpendapat pada masa itu Malaysia perlu membantu Afrika Selatan bagi membolehkan mereka mengecapi kebebasan selain membuktikan dasar aparteid itu adalah salah.

Pengalaman pasukan Malaysia yang diketuai beliau telah berkempen di setiap pelusuk Afrika Selatan selama enam bulan dan dalam tempoh itu pelbagai cadangan telah diberikan untuk tujuan kempen.

Universiti Limkokwing turut mempunyai kampus di Lesotho, Afrika sejak 2008

Oleh kerana ANC dipimpin bekas pejuang pembebasan yang tidak berpengalaman maka secara tidak langsung mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pasukan dari Malaysia untuk mengurus dan menjalankan kempen.

Sebagai seorang yang telah lama terlibat dengan bidang pengiklanan maka pengalaman yang dimiliki Kok Wing telah dimanfaatkan dengan sebaiknya terutama dalam mencipta satu slogan khas untuk ANC bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka.

Slogan ‘A better life for all’ sewaktu kempen tersebut juga hadir daripada buah fikiran Kok Wing setelah diubah daripada ‘A better future for all’.

Kok Wing juga pernah memaklumkan bagi menjadikan slogan berkenaan signifikan maka pihaknya telah memasukkan kanak-kanak pelbagai warna kulit dan keturunan bersama-sama dengan Mandela dan kemudian telah membentuk satu poster kempen yang amat menarik.

Lebih membanggakan slogan itu juga telah menjadi kunci kepada kejayaan buat ANC hingga menang dengan majoriti 62 peratus undi akhirnya Mandela dipilih sebagai presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

Paling menariknya, slogan itu juga masih digunakan sehingga sekarang meskipun selepas beberapa abad dicipta. – MalaysiaGazette