Ir.Izham Hashim

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan untuk memborong produk-produk pertanian daripada mana-mana peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian, Perladangan dan Industri Asas Tani Selangor, Dr Izham Hashim berkata, langkah itu bagi membantu premis yang disenaraikan sebagai kawasan titik panas penularan Covid-19.

“Kita sentiasa memantau dari semasa ke semasa dan baru-baru ini kita telah membeli empat tan pisang yang tidak dapat dijual oleh peniaga.

“Kita akan bertindak (membantu) kalau ada laporan berhubung dengan kegagalan mereka menjual produk pertanian.

“Pisang itu kita beli dengan harga RM2 sekilogram dan jumlah RM8,000 kemudian kita jual balik di Pasar Tani, kalau kita jual pun kita bagi harga istimewa dengan subsidi,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Tani, Seksyen 13, hari ini.

Semalam, kerajaan menyiarkan senarai kawasan berisiko yang dikenal pasti oleh sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebagai titik panas (hostspot) penularan Covid-19.

Senarai itu akan dikeluarkan setiap hari di seluruh negara sebagai sebahagian usaha untuk membantu langkah-langkah pencegahan awal kepada pelancong, pengunjung dan pemilik premis.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dam satu kenyataan semalam, analisis HIDE di bawah kendalian Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ramalan ke atas premis-premis yang berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19 dalam tempoh tujuh hari berdasarkan pemantauan yang dilakukan.

Pada hari pertama, Kuala Lumpur mendahului senarai dengan 62 lokasi, diikuti oleh Selangor dengan 54 lokasi, yang merangkumi sebahagian besar pusat beli belah, pasar raya, kedai runcit dan pasar basah.

Dalam pada itu, Izham tidak menolak kemungkinan jumlah peruntukan sama akan diguna pakai bagi membantu peniaga yang terjejas sepanjang tempoh PKP kali ini.

“Tahun lepas kita memperuntukkan RM1 juta untuk membeli produk-produk pertanian yang tidak dapat dijual ketika pandemik Covid-19 dan PKP.

“Kali ini sama juga kita perhatikan, jumlah peruntukan itu kita tidak tetapkan, kita tengok keperluan, maka kita luluskan untuk kita memberi produk pertanian.

“Bermula baru-baru ini kita membeli pisang berangan empat tan untuk kita bantu mereka dan buat jualan semula.

“Senarai itu masih baru lagi, setakat ini itu sahaja belum ada lagi pertanyaan yang kita terima kita akan pantau keadaan di dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast