PLUS

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merekodkan penjimatan kos operasi sebanyak RM68.16 juta bermula dari 2018 hingga 2020 menerusi Program PLUS Team Excellence.

Program ini adalah satu program yang diperkenalkan oleh PLUS bagi menggalakkan budaya inovasi terus berkembang dan digiatkan secara aktif dalam kalangan kakitangannya.

Pekerja PLUS bukan sahaja berpeluang menyumbang idea, tetapi juga diberi pendedahan secara komprehensif tentang cara menentukan masalah dan penyelesaian secara inovatif dan sistematik melalui program PLUS Team Excellence.

Pemangku Ketua, Pengurusan Kualiti dan Pemantauan Konsesi, PLUS, Adila Mustapa yang terlibat secara aktif dalam Konvensyen Team Excellence (TE) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia sejak tahun 2003 berkata, penerapan budaya inovasi dalam kalangan semua lapisan pekerja PLUS dilaksanakan secara holistik yang melibatkan peruntukan yang spesifik untuk menampung perbelanjaan aktiviti inovasi sepanjang tahun.

Tiga elemen utama dalam memastikan PLUS sentiasa mencipta kejayaan melalui projek inovasi yang mana setiap pekerja perlu mempunyai tahap kompetensi yang tinggi, minda inovasi dan bersedia untuk berubah (agile).

Selain itu, proses kerja sedia ada perlu ditambahbaik menggunakan teknologi yang terkini untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan bekerja. Manakala elemen terakhir adalah produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai ciri inovasi dan dipacu oleh teknologi, mudah digunakan dan melangkaui jangkaan pelanggan mereka.

Seiring dengan pembangunan yang pesat di dalam teknologi digital, program inovasi PLUS kini turut memfokuskan kepada transformasi digital I4WRD bagi mencapai matlamat ‘Toll of Tomorrow’ yang bertujuan untuk pemodenan perkhidmatan sistem lebuhraya dan sistem tol.

transformasi digital PLUS yang berteraskan modal insan ini adalah sangat penting bagi membina bakat dan mengubah cara kerja pasukan PLUS menerusi penggunaan teknologi tinggi.

Inisiatif transformasi digital ini dapat meningkatkan kecekapan bekerja dan seterusnya menambah baik pengalaman dan kepuasan pelanggan mereka.

Menurut Adila, pada tahun 2012, PLUS mula terlibat secara aktif sehingga kini yang mana pada tahun 2020 menyaksikan 50 penyertaan projek inovasi di dalam Konvensyen TE dan dari jumlah tersebut, 21 projek inovasi telah menerima anugerah di peringkat kebangsaan.

PLUS terus melakar sejarah apabila 12 projek inovasi telah berjaya menerima anugerah di peringkat Team Excellence Antarabangsa. – MalaysiaGazette