Anggota polis berbuka puasa ketika melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette yang melibatkan 6 daerah Selangor di Plaza Tol Shah Alam-Bukit Jelutong, Shah Alam . Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MEI 2021.

SHAH ALAM – Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 6 Mei hingga 17 Mei ini, Shah Alam tidak terkecuali daripada operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mengekang aktiviti rentas daerah dan negeri menjelang Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bagi tujuan itu, sebanyak lima SJR dijalankan pihaknya sepanjang tempoh PKP di mana salah satunya terletak di susur masuk dan keluar Plaza Tol Shah Alam, di sini.

“Untuk penegasan Hari Raya pada tahun ini, kita ada satu SJR tetap di Plaza Tol Shah Alam-Bukit Jelutong.

“Dalam masa sama, kita ada empat SJR bergerak yang dikendalikan oleh balai-balai polis.

“Ini termasuk Balai Polis Sri Muda, Balai Polis Bukit Jelutong, Balai Polis Seksyen 9 dan Balai Polis Seksyen 6,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Shah Alam-Bukit Jelutong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib memeriksa bercakap ketika sidang media sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette yang melibatkan 6 daerah Selangordi Plaza Tol Shah Alam-Bukit Jelutong, Shah Alam . Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MEI 2021.

Dalam pada itu, operasi SJR sempena PKP 3.0 dan Hari Raya Aidilfitri kali ini hanya melibatkan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Seramai enam pegawai dan 147 anggota polis merangkumi kekuatan daripada IPD Shah Alam sahaja digerakkan dalam operasi kali ini,” jelasnya.

Sementara itu, lebih 10 pasukan pemantau Pematuhan SOP Covid-19 dan pencegahan jenayah turut digerakkan sepanjang tempoh PKP 3.0.

“Saya juga ada pasukan Men In Black yang konsepnya lebih kepada memantau Pematuhan SOP Covid-19 dan kedua pencegahan jenayah.

“Biasanya kita akan buat tiga pasukan Men In Black bagi mencegah jenayah berlaku menjelang setiap kali musim perayaan sama ada Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya

“Kita akan terus pemantauan satu minggu lagi selepas hari raya nanti, ini termasuklah pematuhan SOP menjelang 1 Syawal yang hanya mengehadkan 15 orang dalam satu-satu masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette