BUTTERWORTH – Rokok seludup diisytihar sebagai barangan dagangan karpet.
Itu taktik sindiket penyeludupan rokok seludup yang dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang susulan rampasan 9.65 juta batang rokok putih tanpa cukai dalam dua serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor.
Serbuan pada Rabu dan Jumaat lalu dilakukan oleh Unit Siasatan Dalaman (USD) bersama pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang yang membawa kepada penemuan rokok seludup tidak bercukai bernilai lebih RM7 juta.
Pengarahnya, Abdul Halim Ramli berkata, seramai empat lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan dalam serbuan terbabit membabitkan pemandu lori kontena, pengurus operasi sebuah syarikat, ejen serta pengimport dagangan terbabit.
Jelas beliau, tangkapan pertama pada jam 8.30 malam ke atas pemandu lori kontena membawa kepada penemuan 495 master case (kotak rokok besar) rokok putih disyaki bernilai RM396,000 manakala cukai pula RM3.17 juta.
“Dalam serbuan kedua, kita merampas 470 kotak rokok putih bernilai RM376,000 dan cukai RM3.14 juta.
“Keseluruhan rokok bernilai RM772,000 dan cukai bernilai RM6.3 juta itu dipercayai cuba diseludup dengan kontena,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Abdul Him, siasatan pihaknya mendapati sindiket terbabit mengisytiharkan kontena berkenaan sebagai karpet.
“Melalui dokumen-dokumen yang diperoleh, dagangan itu disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur. Siasatan berhubung rampasan ini masih dijalankan kita juga kastam sedang menjalankan siasatan apa kaitan syarikat berkenaan dengan penemuan rokok seludup itu” ujar beliau.
Tambah Abdul Halim, pihaknya tidak menolak kemungkinan rokok terbabit untuk pasaran tempatan di seluruh Malaysia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976. – MalaysiaGazette