Dokumen palsu yang dikemukan oleh seorang wanita yang ingin merentas negeri ke Terengganu.

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang wanita yang ingin merentas negeri ke Terengganu tidak kesampaian apabila helahnya mengemukakan dokumen palsu dihidu polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar,  wanita berusia 30 tahun itu telah tampil ke Balai Polis Pantai semalam kira-kira pukul 3.40 petang untuk membuat permohonan rentas negeri dengan menggunakan alasan ibu kandungnya dalam keadaan kritikal.

“Semakan dokumen hospital yang diserahkan oleh pengadu didapati palsu setelah pengadu membuat pengesahan dengan pihak hospital.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek mengaku telah memalsukan dokumen Jabatan Kecemasan & Trauma sebuah hospital di Kuala Terengganu dengan mencipta sendiri dokumen tersebut di rumah kakaknya di Petaling Jaya pada Ahad kira-kira pukul 8.30 malam.

“Suspek telah memuat naik borang permit pergerakan rentas negeri dari Internet serta menggunakan cop rasmi Pegawai Perubatan hospital tanpa pengetahuan dan keizinan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, suspek juga mengaku memalsukan dokumen berkenaan selepas permohonan rentas negeri yang dibuat olehnya di Balai Polis Seapark pada 9 April lalu ditolak.

Tambah beliau lagi, polis merampas salinan permohonan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan salinan dokumen Jabatan Kecemasan dan Trauma sebuah hospital di Kuala Terengganu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan suspek dituduh di mahkamah hari ini.

Dalam pada itu, Anuar turut menasihati orang awam supaya mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan tidak menyalah gunakan permit merentas negeri atas tujuan lain yang bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast