Najib Razak
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam nada sinis berkata, darurat yang dilaksanakan kerajaan bukan untuk memerangi Covid-19 sebaliknya adalah untuk ‘memerangi’ dirinya.

Kenyataan beliau menyusul selepas Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd memfailkan 22 tuntutan sivil untuk mendapatkan aset lebih RM96.6 bilion, termasuk kira-kira RM300 juta terhadap pelbagai individu dan entiti tempatan.

Kata Najib, jika denda cukai RM1.74 bilion tidak lepas untuk memufliskannya kerana ditolak oleh mahkamah, maka cubaan untuk meneruskan usaha tersebut dibuat pula menerusi tuntutan sivil RM96.6 bilion.

“Hari ini, kerajaan PN tugaskan peguam peribadi PM8 untuk kenakan saman sivil ke atas saya dan 21 pihak lain untuk tuntut gantirugi RM97 bilion.
“Saya rasa fokus kerajaan PN masa ini adalah untuk mufliskan dan susahkan Najib.
“Suruh dorang jaga keadaan Covid, itu lain cerita,” katanya.
Mengulas lanjut Najib berkata, berbeza dengan kes jenayah, tuntutan sivil memerlukan beliau membayar ganti rugi.
Namun Najib pelik bagaimana beliau mahu membayar RM97 bilion sekiranya mereka (kerajaan) berjaya memufliskannya dengan denda cukai yang tidak masuk akal berjumlah RM1.74 bilion.
“Dah muflis masih perlu bayar lagi?.
“Jadi, kenapa pula masih nak tambah kes saman terhadap saya jika tiada hasilnya?” Soalnya.
Artikel berkaitan: 
Menurut Najib, ahli-ahli politik yang berdendam boleh mengenakan seberapa banyak kes terhadapnya kerana kos guaman ditanggung oleh kerajaan.
Namun, katanya, itu semua tidak mengapa kerana beliau masih mempunyai banyak masa lapang untuk menghadapi satu lagi kes mahkamah.
Katanya, beliau cuma mempunyai kes-kes ini:
1. Kes SRC
2. Kes 1MDB Tanore
3. Kes laporan audit 1MDB
4. Kes IPIC
5. Kes lucut hak harta
6. Kes LHDN
“Lagi pelik ialah kerajaan mahu 22 pihak bayar gantirugi tapi hanya Najib seorang yang dikenakan kes jenayah pulak,” katanya.

Hari ini, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, enam daripada tuntutan difailkan 1MDB dan baki 16 oleh SRC.

Katanya, 1MDB memfailkan writ itu terhadap 25 individu dan sembilan entiti, termasuk dua institusi kewangan asing, manakala SRC memfailkan tuntutan terhadap 15 individu dan lapan entiti atas pelbagai kesalahan.

Kesalahan itu antara lain termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, common law dan fidusiari; pecah amanah; penipuan; konspirasi untuk menipu; salah nyata penipuan; pelanggaran kewajipan dan pecah amanah secara penipuan; penyalahgunaan kuasa; pelanggaran tugas fidusiari dalam jawatan awam dan bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana. – MalaysiaGazette