PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, penurunan harga beras putih import berkuat kuasa 1 Disember lalu adalah hasil rundingan kerajaan dengan kerajaan India.
Jelas beliau, penurunan harga beras import itu menunjukkan bukti komitmen kerajaan Madani dalam menangani isu kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar.
“Rakyat kini dapat menikmati harga beras putih import lebih rendah selepas kerajaan berjaya melakukan rundingan dengan India.
“Ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung masyarakat akibat kenaikan kos barangan asas,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Serentak Jualan Termurah Madani (JTM) di Kampung Masjid Timah di sini, hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Rahmah dan Jualan Madani yang turut menyediakan beras dan ayam secara percuma kepada golongan memerlukan.
“Kita tahu masalah kos harga barang, sebab itu kerajaan bertindak dengan langkah-langkah strategik seperti ini.
“Selain itu, kita juga menggalakkan penggunaan aplikasi dalam kalangan nelayan agar pengguna boleh membeli hasil laut secara terus daripada mereka pada harga murah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bersetuju untuk menurunkan harga jualan beras putih import di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa 1 Disember.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Bernas baru-baru ini. – MalaysiaGazette