Keadaan jerebu yang semakin buruk di sesetengah kawasan di Sarawak. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Sebanyak 647 sekolah di Sarawak ditutup sementara selama lima hari bermula 7 hingga 11 September susulan keadaan jerebu yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa lokasi negeri itu berada pada paras tidak sihat.

Penutupan membabitkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid serta 84 sekolah menengah melibatkan 90,082 murid di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pemantauan berterusan bacaan IPU sepanjang cuti persekolahan serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MeTMalaysia).

“Sekolah yang terlibat berada di bawah PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong,” katanya menerusi kenyataan.

JPN Sarawak berkata, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi murid sekolah yang terjejas.

Dalam masa yang sama, JPN Sarawak akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan berdasarkan prosedur yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pihak sekolah diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan serta merujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019.

“Institusi pendidikan turut diminta memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing menerusi Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar, khususnya Air Pollutant Index Management System (APIMS),” katanya.

Selain itu, katanya semua institusi pendidikan diminta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta garis panduan berkaitan pelaksanaan aktiviti luar ketika cuaca panas.

“JPN Sarawak amat mengambil berat tentang kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,”katanya.

Terbaharu dilaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan mengisytiharkan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Premier Sarawak serta agensi-agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here