Sudah sampai masanya Malaysia tidak bergantung kepada pekerja asing.

GOLONGAN belia di negara kita akan menyambut Hari Belia Negara 2021 pada 15 Mei dalam suasana yang semakin mencabar. Namun, kekuatan dalaman yang mungkin selama ini bertakung dan kurang menyerlah kini telah semakin berubah terhadap segala kemungkinan baru. Kekuatan semangat inilah yang menolak para belia untuk berpuas hati dengan apa yang ada dan bangkit berusaha terus maju.

Merujuk kepada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), jumlah populasi belia di Malaysia (berumur 15-40 tahun) ialah seramai 15,101,000 orang.
Maka, sudah semestinya sambutan kali ini di harap dapat meniupkan satu semangat
baru untuk golongan belia bangkit demi negara agar kemakmuran dapat di nikmati
bersama dengan segera.

Satu perkara penting ialah soal kebangkitan untuk terus menggalakkan belia bekerja
dalam pelbagai sektor khususnya dalam hal penggantian pekerja asing. Banyak
inisiatif dan insentif untuk belia bekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara
(Penjana) seperti Skim Perantisan Nasional (SPN), Penjana Kerjaya 2.0, Career Advancement Programme (CAP) dan banyak lagi. Tidak dilupakan, peranan NGO
perlu juga di iktiraf seperti Projek Belia Mahir yang aktif di lapangan sebagai agen
penyampai maklumat kepada belia.

Bagi memenuhi permintaan industri yang bertambah akibat kekangan kemasukan dan
penghantaran pulang pekerja asing, pembangunan sumber tenaga mahir belia perlu
dirancang dengan lebih teratur dan berkesan. Perhatian yang lebih berat perlu diberikan terhadap melengkapkan belia-belia kita dari pelbagai latar belakang dengan berbagai kemahiran yang diperlukan industri. Langkah-langkah penyesuaian wajar dilaksanakan supaya industri dapat bergerak dengan lancar.

Industri juga perlulah memainkan peranan membantu usaha kerajaan. Penglibatan
industri dalam memberi latihan akan mempercepatkan pengeluaran tenaga kerja menjadi selaras dengan perkembangan masa kini. Penggunaan teknologi yang semakin canggih dalam sektor perindustrian memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang setara dengan penggunaan teknologi moden.

Di samping itu, kemahiran, sama ada kemahiran pengurusan atau kemahiran ketukangan dan teknikal, hendaklah juga berorientasikan kualiti. Kesungguhan untuk mencapai tahap kecemerlangan merupakan ciri utama dalam pengurusan sumber manusia. Di sinilah peranan industri amat mustahak di samping melengkapkan “career pathway” pekerja. Inilah jaminan masa depan yang belia kita perlukan sekarang.

Golongan belia pula harus menyedari tentang tanggungjawab mereka dalam
pencapaian matlamat perindustrian negara. Negara kita memerlukan lebih ramai anak
muda tampil mengisi pelbagai jawatan yang di tinggalkan oleh pekerja asing.
Kemahiran, bakat, dayacipta yang ada pada belia kita perlu dimajukan lagi sama ada
melalui pendidikan atau latihan-latihan perindustrian mahupun jaminan peningkatan
kerjaya masa depan yang jelas.

Seperkara yang patut diingati oleh para belia ialah kecekapan dalam semua jenis kerja
pertukangan datangnya dari mengulangi kerja itu berkali-kali. Jangan malu untuk di
panggil sebagai “Pekerja Kilang” atau pun menjawat jawatan sebagai Operator
Pengeluaran. Jika pada mulanya pencapaian adalah rendah, ini tidak harus mengecewakan. Dengan ketekunan mengulang dan mengulang berkali-kali akhirnya
kecekapan yang tinggi akan diperolehi. Justeru itu, kita tidak patut takut untuk
memasuki sesuatu bidang bermula dari pekerjaan bawahan. Sesiapa sahaja boleh
mencapai kecemerlangan.

Usaha-usaha kita untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir
mungkin akan lebih berjaya jika kita dapat mengubah sikap dan tanggapan masyarakat ke atas pekerjaan kolar biru. Golongan belia khususnya, perlu menyedari tentang sumbangan besar yang boleh dibuat oleh pekerja-pekerja kolar biru kepada
pembangunan ekonomi negara.

Pencapaian matlamat untuk kebangkitan dalam era Pandemik Covid-19 ini bergantung besar kepada kejayaan kita mewujudkan kumpulan pekerja mahir dalam kalangan belia yang mencukupi di dalam berbagai bidang. Oleh yang demikian, tanggapan negatif ke atas pekerjaan kolar biru wajarlah dihakis dalam kalangan kita semua.

Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk menghakis tanggapan ini daripada memberi
upahan yang lebih baik kepada pekerja kolar biru daripada pekerja kolar putih. Jika
penghargaan ini dibuktikan maka bekalan pekerja kolar biru akan bertambah dan
kemahiran mereka juga akan meningkat.

Selamat Menyambut Hari Belia Negara 2021.
Dekad Ini, Dekad Anda!

 

Oleh: Mohammad Rizan Hassan
Tokoh Belia Negara 2011/Tokoh Belia ASEAN 2011