Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 15 Mei — Momentum meningkat di Bursa Malaysia dijangka berterusan hingga ke minggu depan dengan indeks utamanya menuju ke arah paras psikologi 1,600 apabila para pelabur kembali semula memasuki pasaran selepas bercuti panjang.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim menjangka petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam jajaran antara paras 1,580 dan 1,600 mata minggu depan.

“Memandangkan pasaran, termasuk Malaysia dan Indonesia dibuka semula minggu depan selepas cuti hujung minggu yang panjang, kami menjangkakan aktiviti dagangan meningkat kembali ke paras normal.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan kekukuhan harga komoditi seperti harga minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah akan mempengaruhi sentimen dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 4.93 mata kepada 1,582.52 pada Rabu daripada 1,587.45 yang dicatatkan pada Jumaat minggu sebelumnya.

Semasa minggu dagangan yang singkat itu apabila pasaran tempatan ditutup pada Khamis dan Jumaat sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri, pasaran dipengaruhi terutamanya oleh faktor-faktor domestik.

Ia termasuk pelaksanaan PKP di seluruh negara, pengumuman keluaran dalam negara kasar suku pertama 2021 oleh Bank Negara Malaysia, serta sentimen ke arah cuti hujung minggu yang panjang.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 94.58 mata kepada 1,563.04, Indeks FBMT 100 susut 80.41 mata kepada 11,233.97, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 147.43 mata kepada 12,930.4, FBM 70 turun 283.64 mata kepada 14,975.84 dan FBM ACE jatuh 380.37 mata kepada 7,946.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 46.92 mata kepada 14,850.54, manakala Indeks Perladangan susut 23.71 mata kepada 7,073.78 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 3.30 mata kepada 197.24.

Indeks Tenaga susut 2.70 mata kepada 897.0, Indeks Teknologi turun 3.89 mata kepada 77.38, manakala Indeks Penjagaan Kesihatan naik 28.39 mata kepada 3,187.04.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 14.12 bilion unit bernilai RM8.36 bilion daripada 33.13 bilion unit bernilai RM20.50 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 8.62 bilion saham bernilai RM6.87 bilion daripada 20.72 bilion saham bernilai RM22.40 bilion.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 875.38 juta unit bernilai RM93.32 juta daripada 1.72 bilion unit bernilai RM192.55 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 4.62 bilion saham bernilai RM1.4 bilion daripada 10.68 bilion saham bernilai RM3.90 bilion. – MalaysiaGazette