KUALA LUMPUR – Keadaan sesak yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini disebabkan ramai penerima vaksin Covid-19 tiba lebih awal daripada slot masa yang telah ditetapkan.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat juga individu yang tidak mempunyai janji temu ‘mencuba nasib’ untuk mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’, sekali gus menambah kesesakan yang berlaku.

Sebagai langkah berjaga-jaga keselamatan serta keselesaan semua pihak di samping keadaan penularan Covid-19 yang membimbangkan ketika ini, CITF memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi perkara-perkara seperti berikut:-

1.Jangan tiba terlalu awal daripada slot masa janji temu yang telah ditentukan. Hanya tiba di PPV antara 15 sehingga 30 minit awal dari masa yang ditetapkan. Orang ramai diminta untuk tidak hadir lebih awal daripada 30 minit dari janji temu untuk mengelakkan kesesakan.

2. Ikuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta petugas dan pastikan pematuhan SOP diri.

3. Mohon bersabar dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup
muka sepanjang proses vaksinasi.

4. Sila beredar daripada perkarangan WTCKL sejurus selepas menerima vaksin dan elakkan berada di kawasan PPV terutamanya di kawasan lobi bagi mengelakkan kesesakan.

Rakaman kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di WTCKL tular hari ini.

Rakaman tersebut kemudiannya mendapat reaksi daripada CITF yang memberitahu, sebanyak 8,100 janji temu dibuat di PPV berkenaan hari ini.

PPV itu ibuka dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. – MalaysiaGazette