Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Mohd Rosdi Daud. Foto HAFIZ SOHAIMI.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas dan sedang menyiasat mengenai isu tular mengenai dakwaan Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan mengadakan majlis hari raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, berita tersebut telah disiarkan sebuah portal tempatan semalam sambil mempersoalkan kemungkinan perlanggaran SOP yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya,  dalam terbitan tersebut mendakwa Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar telah melanggar SOP.

“Program tersebut telah diadakan di Kolej Kediaman ke 13 UPM pada 13 Mei lalu (Hari Raya Aidilfitri pertama) yang melibatkan kehadiran mahasiswa dan pihak pengurusan UPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Rosdi, program tersebut dianjurkan sempena penyampaian sumbangan agihan juada hari raya kepada mahasiswa yang memilih tinggal di kampus dan juga jamuan hari raya.

“Berdasarkan gambar yang dimuat naik kelihatan kehadiran tetamu dan juga mahasiswa ke program tersebut,” ujarnya.

Mohd Rosdi menjelaskan siasatan kini dijalankan dibawah Per.17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP).

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 keatas pengunjung dan RM10,000 keatas penganjur. Kertas siasatan akan dirujuk ke Kamar Yang Arif Timbalan Pendakwaraya dalam kadar segera,” tegasnya.

Berdasarkan maklumat awal pengurusan universiti berkenaan, seramai 808 pelajar UPM di kampus Serdang dan 356 pelahar di Kampung Bintulu, Sarawak meraikan Aidilfitri secara sederhana dengan jamuan raya yang disediakan pengurusan Universiti.

Timbalan Naib Canselor (Akademiik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. M. Iqbal Saripan dilaporkan berkata, pemberian juadah tersebut dilakukan secara kebiasaan baharu berdasarkan SOP ditetapkan kerajaan seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. kESIAN KEPADA PELAJAR.. sudah lah terkurung di IPT serta tidak bersama ahli keluarga..
    Pihak berkuasa diharap tidak menyalahkuasa dalam melakukan sebarang tindakan…Bagaimana covid 19 nak turun jika kita tidak insaf kepada Tuhan iaitu Allah Taala kerana asyik ditekan golongan yg tidak upaya maka azab Allah asyik datang2

  2. Patutnya pelajar yg tak balik raya tu biarkan jaaa..pandai2 lah nak hidup kan…kalau terpaksa juga hantar juadah dari bilik ke bilik…tak pun KPT pos kan sorang2…haaa lawak lah

Comments are closed.