Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob interstate travel ban Hari Raya Aidilfitri balik kampung Covid-19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

HAKIKATNYA bukan mudah menggalas tanggungjawab diberikan. Berdepan cabaran era ‘netizen’ tanpa batasan, pastinya begitu rumit berbanding zaman sebelum ni.

Dengan semua maklumat di hujung jari, tiada apa yang boleh disembunyikan. Jika berlaku kesilapan, sekejap sahaja perkara tersebut tersebar.

Dan tunggulah, tidak berapa lama selepas itu serangan bertalu-talu daripada netizen pastinya memenuhi ruang komen.

Bukan setakat itu sahaja, pelbagai cemuhan lain bakal diterima termasuk video parodi ejekan dan emoji atau poster memalukan. Semua itu akan berlegar di dalam alam maya sehingga ada yang melampaui batas.

Bukan sahaja pemimpin negara, malah Yang Di-Pertuan Agong turut menjadi mangsa. Semacam tidak ada siapa yang akan terlepas daripada kecaman. Sungguh menyedihkan.

Untuk menjadi pemimpin utama negara pada masa ini, kekuatan fizikal dan mental adalah sangat penting. Jika tak kuat mental, tak payahlah berangan nak jadi YB. Baik duduk rumah diam-diam.

Maka cabaran tugas yang dipikul oleh Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan Pertahanan bukan satu tanggungjawab mudah.

Ditambah dengan situasi semasa yang makin mencabar dengan kes pendemik Covid-19 yang semakin bertambah dan mencecah sehingga 4,000 kes sehari, ternyata ia bukan suatu yang mudah digalas.

Sementelah menjadi selaku jurucakap hampir setiap hari di hadapan media, Ismail Sabri yang mesra dalam kalangan masyarakat sebagai Pak Long Mail pastinya memikul tugas besar.

Ada sahaja kritikan atau ‘troll’ tanpa belas kasihan dilemparkan kepada beliau terutama dalam menyatakan pandangan kerajaan berhubung ketetapan undang-undang dan SOP.

Lebih parah dihentam apabila pengumuman pelaksanaan PKP menjelang Hari Raya Aidil Fitri.

Memang ‘kaw-kaw’ beliau kena pangkah dengan netizen, sedangkan apa yang dinyatakan adalah demi kebaikan seluruh masyarakat dan keselamatan negara pada masa hadapan.

Tapi adakah kita sanggup nak jadi macam India Kedua? Pastinya tidak! Demi keselamatan rakyat serta negara tercinta, Pak Long Mail sanggup berkorban dan bersedia menerima apa jua kritikan yang bakal dilemparkan oleh netizen.

Malah mengakui bakal menerima kemarahan rakyat ekoran pelaksanaan PKP, Ismail Sabri ternyata reda tempuhi semua kemungkinan.

Meskipun pengumuman PKP adalah daripada Perdana Menteri (PM) dan bukannya daripada Pak Long Mail, tempiasnya masih dirasai oleh Ismail Sabri.

Segalanya diharungi dengan tabah. Hadap ‘sorang-sorang’.

Pak Long Mail merasakan, biarlah dia dimaki hamun dan dicaci, namun baginya apa yang penting adalah nyawa rakyat yang mesti diselamatkan.

Seharusnya, pemimpin cekal seperti beliau ini harus diberi pujian. Bukan nak mengampu, tapi itu adalah hakikat.

UMNO sebenarnya bertuah mempunyai pemimpin seperti Ismail Sabri.

Beliau seharusnya dijadikan contoh dan teladan oleh pemimpin lain, terutama daripada golongan muda yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.

Kehadiran Pak Long Mail dalam pentas politik masa ini jelas menjadi teras kepada kerajaan PN sedia ada.

Keberadaan beliau dalam gelanggang politik ternyata menjadikan UMNO terus relevan dan berupaya menjadi parti pemerintah dengan baik.

Malah sempena ulang tahun UMNO yang ke-75, keupayaan Ismail Sabri seharusnya menjadi contoh tauladan oleh semua.

Bukan sahaja diteladani di peringkat akar umbi, barisan kepemimpinan UMNO juga perlu menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh beliau.

Seumpama lilin membakar diri, Ismail Sabri melakukannya demi menyinari dan membuka jalan yang lebih bersinar buat UMNO di mata masyarakat.

Permata tidak akan pernah kehilangan nilainya biarpun diseliputi ‘lumpur kecaman’.

Teruslah berdiri menegakkan kebenaran! Tidak gentar dengan kecaman!

Teruskan semangat perjuangan Pak Long Mail demi rakyat dan negara tercinta.

Terus gah menyatakan kebenaran. Selamat bertugas Pak Long Mail dengan cekal! – MalaysiaGazette

Muammer Gaddafi Hilmi merupakan seorang penulis bebas.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast