Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia berhimpun untuk membantah kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Malaysia di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan penyerahan memorandum bantahan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh Ketua Polis Balai Pudu yang berada di lokasi kejadian.

Katanya, kumpulan yang dikatakan mewakili Persatuan Pengguna Semboyan hadir menyerahkan memorandum sebagai bantahan akan dipanggil polis dalam masa terdekat.

“Pihak penganjur juga akan dipanggil berkaitan isu ini bagi membantu siasatan polis. Tiada sebarang penyerahan memorandum oleh kumpulan itu kerana pihak Kedutaan AS tidak mahu menerima memorandum berkenaan.

“Tindakan sekumpulan individu yang berkumpul di kedutaan berkenaan adalah bagi melepaskan geram terhadap isu Israel dan Palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu melakukan aktiviti terlarang ketika perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.

Terdahulu, sekumpulan individu mewakili Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Kedutaan AS di Jalan Tun Razak di sini untuk menyerahkan memorandum bantahan keganasan Israel terhadap Palestin.

Mereka telah berkumpul di hadapan kedutaan itu antara 1.45 hingga jam 2.05 petang tadi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Virus yang punyai pelbagai varian itu dipercayai telah dimajukan dimakmal oleh pihak2 tertentu dengan tujuan2 politik2 yang tertentu?

    Benarkah ianya disebarkan ditahun2 KEBINASAAN sesebuah negara? Lebih baik ambil sikap lebih berhati2!

Comments are closed.