Petugas Kesihatan mengendali jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 MEI 2021.

MALAYSIA dikejutkan dengan penemuan varian mutasi daripada India iaitu varian 1617. Lebih membimbangkan, varian mutasi ini mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.

Apa itu mutasi?

Mutasi bermaksud berlaku perubahan pada jujukan genetik RNA atau DNA sesuatu genom.

Mutasi mudah berlaku semasa proses replikasi atau pembiakan virus. Virus jenis RNA
sebenarnya agak kerap mengalami mutasi kerana kumpulan virus ini tidak mempunyai
kebolehan untuk mengenal pasti perubahan genetik semasa proses pembiakan.

Justeru, virus baru yang dihasilkan mungkin mempunyai susunan genetik sedikit berbeza daripada virus asal.

Tidak semua mutasi menyebabkan virus menjadi lebih ganas. Ada mutasi yang tidak memberi apa-apa kesan dan ada juga mutasi yang menyebabkan virus menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Varian B1617 mula dikesan di India pada Oktober 2020 dan telah tersebar ke lebih 30
negara. Varian B1617 digelar triple mutant atau mutasi berganda.

Ia mengandungi 13 mutasi, tetapi hanya 2 mutasi yang penting iaitu yang melibatkan struktur protein spike.
Mutasi ini mempengaruhi cara virus melekat pada sel manusia.

Salah satu mutasi didapati sama dengan yang terdapat pada varian Brazil. Mutasi ini juga menyebabkan varian ini mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi berbanding varian lain.

Mutasi ketiga pula masih dalam kajian tetapi berkemungkinan mempunyai keupayaan untuk mengelak atau mengaburi sistem imuniti badan seseorang.

Benarkah kaedah PCR gagal mengesan jangkitan oleh varian ini?

Ada laporan yang menyebut varian ini gagal dikesan oleh teknik PCR yang selama ini
digunakan untuk mengesan virus SARS-CoV-2.

Sebenarnya ia adalah kurang tepat. Ini kerana, ujian PCR COVID-19 mengesan lebih daripada satu gen yang terdapat virus.

Contoh gen ialah gen S yang mengekod protein spike, gen E, gen Rdrp dan lain-lain. Kebanyakannya mengesan 2 gen, dan ada juga yang mengesan 3 gen.

Ini untuk memastikan bahawa ketepatan ujian adalah tinggi. Jika terdapat mutasi pada gen Spike contohnya, ujian tersebut masih boleh mengesan gen E dan juga RdRp.

Secara umumnya, ujian PCR yang kita gunakan mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi (melebihi 80%) dan merupakan gold standard untuk diagnosis COVID-19. Ini bermakna, ada kemungkinan bahawa 20% ujian menunujukkan keputusan false negative ataupun ralat negatif.

Keputusan sebegini boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu:
1. Sampel swab di ambil terlalu awal ( semasa tempoh inkubasi) atau terlalu lewat.
Pada masa ini jumlah viral load atau bebanan virus dalam keadaan yang sangat rendah. Jadi, PCR memberikan keputusan negatif. Tempoh terbaik untuk buat swab ialah sekitar hari ke 5-7 selepas terdedah kepada jangkitan COVID atau 1-2 hari sebelum bermulanya gejala.
2. Cara pengambilan sampel yang tidak betul
3. Faktor-faktor teknikal lain yang mempengaruhi keputusan ujian

Mengapakah kewujudan varian ini membimbangkan?

Beberapa hari lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengumumkan bahawa varian B1617 dikategorikan sebagai ‘variant of concern’ (VOC) atau varian yang membimbangkan.

Ianya adalah varian keempat termasuk varian UK, Brazil dan Afrika Selatan yang
diklasifikasikan sedemikian. VOC adalah varian yang mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada ciri-ciri berikut; kadar kebolehjangkitan yang tinggi, menyebabkan jangkitan teruk, mengurangkan keberkesanan antibodi sedia ada di dalam badan atau menyebabkan kaedah rawatan dan vaksin menjadi kurang berkesan.

Bagi varian 1617, ianya dilaporkan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi. Namun, varian B1617 tidak menyebabkan kadar kematian yang tinggi. Ia juga tidak menganggu proses diagnosis, dan tidak juga mengganggu atau mengubah kaedah rawatan pesakit COVID-19.

Apakah kaedah-kaedah pencegahan yang sesuai?

Mengenai keberkesanan vaksin, kajian terperinci sedang dijalankan oleh pengeluar pelbagai jenis vaksin. Setakat ini dilaporkan bahawa ada vaksin yang efektif terhadap varian B1617 dan ada juga yang dilaporkan kurang efektif.

Ini bermakna ada yang mendapat jangkitan varian ini selepas menerima vaksin COVID-19, contohnya yang berlaku di India.

Akan tetapi, vaksin didapati melindungi serta mencegah mereka daripada mendapat jangkitan yang teruk.

Paling penting sekali, asas-asas pencegahan COVID-19 seperti penjarakan fizikal,
membersihkan tangan, mengelakkan sentuhan fizikal dan pemakaian pelitup muka harus
dilakukan sepanjang masa.

Jangan ambil ringan kaedah-kaedah pencegahan ini walaupun kita semua telah kelesuan menghadapi pandemik ini sejak setahun yang lalu.

Penemuan varian-varian baharu seharusnya tidak mematahkan semangat kita untuk terus berjuang menghadapi pandemik ini seterusnya melenyapkannya dari muka bumi.

Penulis: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed
Pakar Mikrobiologi Klinikal
Universiti Sains Islam Malaysia

Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Universiti Sains Islam Malaysia