Gambar hiasan

KERAJAAN telah merangka pelbagai agenda pembangunan yang selaras dengan tuntutan
Islam melalui pendekatan seimbang dalam aspek-aspek spiritual, ekonomi, pendidikan,
kemasyarakatan, undang-undang dan sebagainya. Kerajaan menyedari bahawa Islam
bukanlah suatu agama bersifat ritual semata-mata, tetapi agama yang bersifat praktikal
iaitu diturunkan untuk mengatur kehidupan masyarakat secara realistik.

Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian
kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam
kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk kerohanian, fizikal dan material.

Ini bertetapan dengan firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah al-Qasas 77 bermaksud:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah epadamu
akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dan dunia; dan berbuat baiklah (kepada
hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan
pemberian nikmat-nikmatnya) yang melimpah); dan janganlah engkau melakukan
kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang berbuat kerosakan”.

Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan
kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf
pendidikan, menghadapi kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada
generasi masa hadapan yang cemerlang. Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut kualiti kehidupan mengikut Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah tidak begitu statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut perlu diusaha dan dijayakan dari semasake semasa semoga tahap pencapaian setanding dengan masyarakat yang maju di dunia.

Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada institusi keluarga. Keluarga yang
sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi tyang seimbang dan berprestasi.
Bahkan gejala sosial masyarakat dapat dikurangkan jika setiap institusi dapat befungsi
dengan berkesan. Sesungguhnya untuk membentuk sebuah kehidupan yang berkualiti, pengurusan masa amatlah penting. Dalam Islam, sebenarnya masa bukan emas, tetapi nyawa dan kehidupan.

Apabila masa terbuang ataupun hilang seperti nyawa dan kehidupan, ia tidak dapat digantikan. Justeru, manusia yang tidak mahir dalam aspek pengurusan masa akan
mensia-siakan masa mereka. Manusia seperti itu sebenarnya tidak menghargai hidup dan
nyawanya. Orang yang suka membuang masa seolah-olahnya sedang membuang modal
yang sepatutnya digunakan bagi mengembangkan perniagaannya.

Di dalam Ihya Ulumuddin, dalam bab Bahaya Lidah, Imam Ghazali berkata, “modal bagi seseorang hamba Allah ialah waktunya. Jika dia gunakan waktu itu pada perkara yang tidak diperlukan dan tidak digunakannya untuk mencari pahala akhirat, dia telah mensia-siakan modalnya.

Allah s.w.t. telah memberikan kepada setiap insan agihan masa yang sama iaitu
24 jam sehari semalam. Orang yang berjaya adalah orang yang berjaya mengisikan 24
jam itu dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Suka menangguhkan kerja adalah
penyakit yang sering menyerang golongan yang gagal. Bagi mereka, esok pasti datang.
Sebaliknya, golongan yang berjaya segera memanfaatkan waktu sekarang kerana ia sedia
ada dalam genggaman mereka.

Wawasan yang baik memerlukan perancangan yang rapi untuk berjaya.
Perancangan penting dalam mencapai kehidupan berkualiti. Dalam al-Quran ada
menceritakan perancangan yang dicadangkan oleh Nabi Yusuf kepada Raja Mesir bagi
menghadapi saat kegawatan ekonomi di Mesir. Beliau menyarankan supaya perancangan
dibuat semasa iklim ekonomi berada pada tahap yang baik sebelum kegawatan melanda.

Beliau juga menunjukkan perancangan yang baik adalah yang mempunyai keterikatan
dengan jangka masa yang ditetapkan kerana ia melahirkan keungguhan atau sense of urgency di kalangan setiap orang yang terlibat. Ia juga dapat memastikan supaya setiap
individu tidak cuai dalam melaksanakan tugas. Hasil dari perancangan yang baik itu,
maka terhasillah sebuah individu yang berkualiti.

Imej yang positif juga memainkan peranan yang penting dalam melahirkan
kehidupan yang berkualiti. Ini kerana penonjolan imej yang positif dapat menambahkan
keyakinan manusia terhadap kita sekaligus membentuk kecemerlangan. Firman Allah
s.w.t. dalam surah an-Naml ayat 44 bermaksud:

“Dikatakan kepada (Balqis), ‘Masuklah ke dalam istana’. Tatkala dia melihat
istana itu, dia mengagak itu ialah kolam air yang besar maka disingkapkannya
kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman, ‘Sesungguhnya ia adalah istana licin
diperbuat dari kaca’. Berkatalah Balqis, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah
berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada
Allah, Tuhan semesta alam,”.

Selain itu, antara perkara yang perlu dilakukan oleh umat Islam adalah bermusyawarah. Musyawarah penting terutamanya semasa bekerja dalam sebuah pasukan. Musyawarah penting dalam membentuk kehidupan berkualiti. Bekerja dalam sebuah pasukan memerlukan musyawarah untuk berjaya. Musyawarah yang berkualiti memerlukan ahli-ahli musyawarah yang berilmu dan bertaqwa (‘aqil wa ‘abid). Nabi amat memerlukan musyawarah. Justeru, perjuangan beliau dan para sahabat dirahmati Tuhan dan mereka berjaya mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi.

Jika kita memanfaatkan pandangan golongan yang seperti ini dalam hidup, kita akan cemerlang. Justeru, jadikan diri kita seorang yang berilmu dan betaqwa. Pastikan juga kita mempunyai rakan-rakanyang bersifat seperti itu supaya sumber rujukan kita berkualiti. Untuk cemerlang kita perlu konsisten dengan segala kebaikan yang kita lakukan. Istiqamah atau konsisten yang diterima dan diredhai Tuhan mempunyai asas-asasnya.

Mengikut pandangan ulama tasawuf yang bijaksana, seperti yang dinukilkan di dalam
kitab Dalil al-Falihin, "Istiqamah yang benar mestilah diasaskan di atas dua perkara iaitu amalan mengikut apa yang dibawa oleh Nabi saw, zahir dan batinnya." Salah satu punca pendidikan kita gagal melahirkan manusia cemerlang adalah kegagalan pendidik untuk konsisten dengan nilai-nilai murni yang diajar. Contohnya, di rumah ibu bapa mengajar anak-anak supaya tidak berbohong. Tetapi pada sesetengah masa, ibu bapa sendiri yang berbohong di hadapan anak-anak. Si ayah pula mengajar anak lelakinya supaya tidak merokok tetapi si ayah sendiri merokok.

Pada hari ini, konsep teamwork atau bekerja dalam pasukan amat ditekankan
kerana ia adalah unsur penting yang menjamin kecemerlangan dan kejayaan kehidupan
yang berkualiti. Sebenarnya, konsep ini bukanlah baru dalam Islam. Ia ditekankan oleh
Islam sejak awal dahulu terutamanya dalam usaha menegakkan kalimat Tuhan.Allah
berfirman dalam surah as-Saf ayat 4 yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan di jalannya dilakukan (secara tersusun) seperti satu saf seolah-olahnya mereka merupakan sebuah bangunan yang kukuh."

Untuk menjadi insan yang berkualiti di dunia dan di akhirat, keikhlasan perlu
digabungkan dengan cara yang betul. Berhubung dengan ayat di atas, Imam Ibn Kathir
berkata. “ Ayat ini menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua
kriteria, pertamanya ikhlas dan yang keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan
sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w . Jika sesesuatu amal
dilakukan dengan tulus Ikhlas tetapi caranya tidak mengikuti Syariat, ia tidak diterima
oleh Allah”.

Kehidupan berkualiti juga dikatakan individu yang berlandaskan Syariat. Ini
kerana Syariat memandu seseorang yang mengikutinya ke jalan yang teratur lagi terurus,
Kerana segala amalan serta aktiviti di dunia tidak akan mendatangkan faedah di akhirat
kecuali apabila ia dilaksanakan mengikut landasan Syariat. Gerabak kehidupan kita akan
terbabas tanpa rel. Rel yang dimaksudkan di sini adalah Syariat Allah, yakni al-Quran
dan Sunnah Rasulullah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “ Aku tinggalkan
kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh denganya kamu tidak akan sesat
selama-lamanya iaitu Kitab Allah dan Sunahku”.

Dari itu, kita hendaklah menjadi insan yang jelas dan celik Syariat. yang mana
untuk sampai kepada maksud ini, individu tersebut memerlukan ilmu. Allah s.w.t
berfirman dalam surah Taha, ayat 123 hingga 124 yang bermaksud, “ Jika datang
kepadamu petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sesiapa yang
berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan
kami akan menghimpunya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Ayat ini menunjukkan
betapa pentingnya kita supaya mengikuti Syariat Allah (Danial Zainal Abidin,2005).

Justeru itu, dalam mencapai kehidupan berkualiti kita perlulah perancangan,
pengurusan masa yang baik. Setiap individu perlu menjaga imej yang positif serta
sentiasa kosisten pada diri. Dalam mencapai kehidupan berkualiti, bermusyawarah serta
bekerja dalam pasukan itu penting. Penjagaan makanan dan kesihatan juga perlu diberi
penekanan dalam kehidupan berkualiti. Dari sudut syariat juga perlu dititikberatkan.
Ibadah itu penting dalam membentuk kehidupan yang berkualiti seperti solat,membaca
Quran dan berdoa juga perlu diambil kira.

Dr. Nur Najwa Hanani Abd Rahman
Pensyarah Kanan
Akademi Tamadun Islam
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia
Skudai, Johor