Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang meminta syarikat yang menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac tampil membersihkan imej mereka berhubung tawaran tersebut.

Gesaan itu dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow susulan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa syarikat itu palsu dan tawaran iadalah satu penipuan.

Kon Yeow berkata, pengarah syarikat yang dinamakan oleh Khairy Jamaluddin juga perlu tampil untuk menolak dakwaan serius dibuat terhadap mereka.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami telah mengambil tindakan berhemah apabila kami memohon pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sebaik menerima tawaran vaksin berkaitan melalui surat bertarikh 1 Februari lalu .

“JKNPP kemudian meminta supaya perkara tersebut dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pandangan serta nasihat lanjut sebelum satu surat diutuskan kepada Ketua Setiausaha KKM oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar pada 15 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Kon Yeow, Datuk Mohd Shafiq Abdullah selaku Ketua Setiausaha KKM tidak menyentuh tentang isu status syarikat tersebut ketika memberi maklum balas kepada kerajaan negeri pada 12 Mac lalu.

“Dalam surat itu KKM hanya memberitahu kerajaan negeri tidak perlu menimbangkan sumbangan vaksin tersebut kerana Kerajaan Persekutuan telahpun merangka dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Susulan itu, pihak kami (kerajaan negeri) tidak berupaya menyusuli perkara berkenaan kerana tidak dapat mengemukakan surat perakuan KKM kepada syarikat berkenaan untuk membolehkan mereka meneruskan rundingan dengan pihak pengeluar vaksin.

“Tawaran vaksin dibangkitkan semula semalam apabila pihak saya mempersoalkan mengapa KKM tidak dapat memberi perakuan untuk Pulau Pinang berdasarkan surat jawapan daripada Ketua Setiausaha KKM sedangkan negeri Sarawak dan Selangor dilaporkan membeli vaksin untuk kegunaan negeri masing-masing,” ujar beliau.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri telah melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam isu tersebut kerana tawaran vaksin itu akan dapat diberikan kepada rakyat negeri Pulau Pinang demi menjaga keselamatan mereka terhadap virus Covid-19.

“Memandangkan Menteri Khairy Jamaluddin telah membuat dakwaan serius, kita memohon supaya syarikat terbabit untuk tampil memberi penjelasan serta menunjukkan bukti-bukti yang berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.