Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa untuk segera membuka sidang Parlimen bagi membolehkan semak dan imbang pentadbiran berlaku.

Keputusan kerajaan sebelum ini boleh diibaratkan sebagai keputusan ‘syok sendiri’ kerana tidak pernah dibincangkan atau dibahas di Parlimen.

Dan hari ini kerajaan dilihat terumbang ambing mengurus negara terutama berkaitan Covid-19, kata Razeef Rakimin, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah

Dakwanya, keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan sebelum ini menyusahkan semua pihak termasuk petugas kesihatan, peniaga kecil sederhana serta rakyat marhaen.

Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak konsisten serta peraturan yang tidak seimbang menyukarkan pelan untuk memutuskan rantaian Covid-19 termasuk pelan pemulihan ekonomi.

”Ia boleh dilihat apabila beberapa sektor kurang berisiko diarahkan tutup manakala sektor ekonomi besar yang berisiko dibenarkan beroperasi menyebabkan kes jangkitan Covid-19 semakin teruk namun disebaliknya proses pemulihan ekonomi terencat,” katanya.

Semalam, tambahnya. kes jangkitan baru Covid-19 telah mencapai 6,075 kes dan ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan pada hari ini walaupun selepas pelaksanaan Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

”Saya tidak bersetuju pihak ‘kayangan’ yang ‘bermewah’ di atas terus menerus menyalahkan rakyat yang ‘kais pagi makan petang’ atas kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 sedangkan sikap ‘bodoh sombong’ kerajaan hari ini menjadi punca mereka masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Tegas Razeef, pihak pembangkang bukanlah ingin mendesak kerajaan membuka sidang Parlimen untuk menumbangkan kerajaan tetapi ia sebagai ruang terbaik untuk membincangkan serta mencari kesepakatan dalam mencari penyelesaian mengurangkan serta memutuskan rantaian Covid-19 setelah pelbagai inisiatif kerajaan sebelum ini gagal.

”Saya pernah mendesak agar darurat ditarik semula. Namun saya dikatakan seolah-olah mengingkari arahan Yang di-Pertuan Agong. Namun hari ini jelas kerajaan hari ini adalah sebuah ‘Kerajaan Gagal’,” ujarnya.

”Oleh itu, beliau mahu kerajaan menilai semula keangkuhan mereka kerana saya yakin tahap kesabaran rakyat melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan hari ini sudah sampai ke puncak dan saya tidak menolak kemungkinan rakyat akan mengabaikan Covid-19 dan turun ke jalan raya mendesak Kerajaan Perikatan Nasional untuk segera berundur,” tambahnya yang mahu kerajaansegera mengadakan sidang Parlimen bagi mencari penyelesaian berikutan kenaikan kes baharu Covid-19 ketika darurat. – MalaysiaGazette