JOHOR BAHRU – “Nurul Huda inilah semangat saya supaya saya terus cekal semangat untuk teruskan kehidupan selepas diuji dengan masalah rumah tangga apabila suami kini berkahwin baharu.”
Itu kata ibu beranak empat, Noraini Amin, 34, yang kini hidup umpama gantung tidak bertali kerana terpaksa melakukan pelbagai kerja sambilan bagi menampung Nurul Huda Zulkiflie – seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana masalah cerebral palsy berusia lapan tahun dan seorang lagi anak kecil berusia dua tahun.
Beliau kini tidak diberi nafkah oleh suaminya dan hidupnya kini seperti gantung tak bertali.
“Saya sebenarnya ada empat orang anak tetapi dua lagi bekas suami yang jaga, bawah jagaan saya anak saya seorang OKU dan juga adiknya yang berusia dua tahun.
“Walaupun perit saya kena kuat semangat untuk besarkan anak-anak terutama dalam menguruskan Huda yang tak begitu sihat, kadang-kadang memang rasa down tetapi bila fikir anak-anak saya kena kuat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Mewah hari ini.
Adakala Noraini terpaksa menebalkan muka untuk meminta ihsan golongan tertentu bagi mendapatkan bantuan terutama untuk Nurul Huda.
“Kita pun ada perasaan malu tetapi saya tiada pilihan, nasib baik ada Wakil Khidmat Rakyat DUN Kempas yang bantu saya, boleh bantu tampung harian kami.
“Sekarang ini alhamdulillah kami tak pernah dilupa, keluarga kecil kami tidak pernah lupa adik Huda tapi sampai bila kita nak harapkan ihsan orang,” katanya.
Sejak diceraikan Julai tahun lalu, bekas suaminya yang telah pun berkahwin lagi telah menjaga dua lagi anak mereka yang kini berusia 15 tahun dan 10 tahun.
Menyedari hakikat itu, ibu muda itu kini melakukan kerja sampingan dengan menjual karipap sejuk beku dan menjual kuih raya secara kecil-kecilan atas talian.
Namun, Ain mengakui ia masih tidak mampu mampu menampung kos perbelanjaan bulanan mereka bertiga.
“Sekarang ini saya buat kerja kecil-kecil jual karipap frozen jual kuih raya,nak kerja sepenuh masa memang agak sukar sebab siapa nak tengokkan anak-anak.
“Ini pun susu Huda, ada masa saya beri sahaja susu yang ada, yang tidak ikut spesifik dari doktor. Sebab duit ada masa tidak mencukupi,kalau ada rezeki saya beli susu Huda yang bagus sikit.
“Ini pun saya terpaksa hentikan Huda dari sekolah khas dan hentikan sementara Huda dari terapi dia,sekali sesi terapi RM80,” keluhnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri (MAINJ) Johor, Khairul Nizam Mad Said memberitahu, pihaknya bercadang akan memberi bantuan bulanan kos rawatan .
Selain itu, MAINJ dalam kunjungannya bersama MalaysiaGazette turut memberi bantuan kilat RM300.00 kepada keluarga berkenaan.
Menurut Nizam, usaha menjejaki Noraini mendapat kerjasama daripada Wakil Khidmat DUN Kempas.
“Selain wang tunai MAINJ juga beri bantuan keperluan asas dan peralatan sekolah kepada keluarga ini. Cadangan bantuan seterusnya bantuan saraan bulanan RM500 dan
keperluan anaknya yang OKU.
“Kami juga nak ucapkan terima kasih kepada pasukan Yang Berhormat Datuk Osman Sapian kerana kerjasama diberikan kerana perkara sebegini saya akui perlu untuk semua pihak bantu membantu.Tiada salahnya,” katanya.-MalaysiaGazette