KUALA LUMPUR – Seramai 15 individu terdiri daripada peniaga dan pengunjung di Pasar Pagi Jalan Margosa, Sri Damansara, Petaling Jaya dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, seramai tiga pegawai dan 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya serta dua pegawai dan 14 anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terlibat dalam operasi pematuhan yang dijalankan pada pukul 7 pagi tadi.
“Dalam operasi tersebut, polis telah mengeluarkan 13 saman terhadap peniaga kerana tidak menyediakan pengimbas kod QR MySejahtera dan alat penyukat suhu badan.
“Manakala dua saman dikeluarkan kepada pengunjung kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Fakhrudin, pihak MBPJ mengeluarkan sebanyak 30 saman terhadap peniaga-peniaga yang tidak mempunyai lesen perniagaan serta menyita barangan milik seorang peniaga warga asing yang melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Fakhrudin turut mengingatkan serta memberi amaran kepada orang ramai termasuk peniaga supaya terus mematuhi arahan PKP 3.0 yang sedang dikuatkuasa ketika ini.
“Kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan tindakan kompaun diambil,” ujarnya. – MalaysiaGazette