KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia memantau rapi tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat tumpuan awam seperti Suria Kuala Lumpur City Center (KLCC) dan pusat membeli belah Pavillion Bukit Bintang.
Walaupun tidak ceria seperti dahulu namun kedua-dua pusat membeli belah di ibu negara itu masih menerima pengunjung yang ramai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Naazron Abdul Yusof berkata, tinjauan pasukan polis pemantau pematuhan SOP dilakukan secara rambang pengunjung mematuhi peraturan setiap masa.
Katanya, pihak pengurusan pusat membeli belah itu telah mengambil tindakan proaktif bagi memastikan pematuhan SOP di dalam premis perniagaan.
“Saya dan pasukannya memantau di lokasi tumpuan utama pelancong itu di mana pengurusan pusat membeli belah membuat semakan sendiri setiap masa memastikan kawasan mereka bebas dari jangkitan dan sebarang penyalahgunaan SOP oleh pengunjungnya.
“Dalam pusat membeli belah KLCC ini boleh katakan pematuhannya 100 peratus, misalnya peimbasan kod MySejahtera dan penjarakan fizikal serta sanitasi tangan sentiasa berlaku dengan pengawasan rapi oleh petugas bangunan itu di setiap pintu masuk dan keluar.
“Polis juga berpuas hati dengan tahap pematuhan dan komitmen pengurusan pusat membeli belah kepada polis namun kehadiran polis secara lebih kerap akan diperhebatkan lagi kerana kami percaya mungkin ada masanya pengunjung ambil kesempatan, leka dan gagal mematuhi SOP semasa ketidakhadiran polis,’ katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan KLCC.
Ditanya mengenai kerjasama dan tahap pemahaman serta penerimaan protokol dan SOP dalam kalangan pelancong asing, Naazron berkata, kebanyakan mereka rajin dan komited mematuhi SOP.
“Mereka juga memuat turun aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar mereka dan sentiasa menggunakannya ke mana sahaja mereka pergi terutama sekali di pusat membeli belah dan mereka sentiasa mengemaskini maklumat SOP MySejahtera itu tanpa menyusahkan semua pihak.
‘Malah untuk memastikan orang ramai tidak mengingkar SOP di pusat membeli belah setiap masa, 21 pasukan pemantau pematuhan SOP dari Dang Wangi akan turun memeriksa pusat-pusat setiap hari.
“Kita memberi fokus waktu yang sesuai seperti tengahari dan sebelah petang melakukan pemantauan pematuhan SOP dan hantar pasukan kami serta merta jika sesebuah pusat membeli belah dikesan jumah kehadiran pengunjung agak besar dan luas.
“Ini penting mengelak daripada difitnah masyarakat kononnya tempat ini lokasi orang kayangan dan tidak diambil tindakan oleh polis, dan kita akan bertindak tegas tanpa memilih bulu dan gender terhadap mana-mana individu yang melanggar SOP,’ ujarnya. -MalaysiaGazette