Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dato Dr Teo Kok Seong. foto SYAFIQ AMBAK, 01 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Ahli politik perlu berhenti politiking bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 yang semakin serius.

Sebaliknya, mereka perlu bekerjasama membantu negara dan bukannya menunding jari kepada mana-mana pihak berikutan kes positif jangkitan itu yang meningkat saban hari, kata Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dato Dr Teo Kok Seong.

“Pandemik ini bukan sahaja melanda Malaysia, ia malapetaka dunia. Oleh itu, tidak wajar kerajaan yang bekerja kuat untuk memeranginya, dibebankan lagi oleh tohmahan daripada pihak yang mahu ‘menahan lukah di pergentingan’.

“Ini satu tindakan yang amat menjijikkan dalam keadaan darurat seperti ini namun mereka ini masih bersikap mementingkan diri sendiri dan agenda parti politik mereka. Jadi ini bukan masanya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong . foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2019.

Beliau berkata ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa ahli politik cuba mengeruhkan lagi situasi Covid-19 dengan menimbulkan pelbagai dakwaan yang tidak munasabah berhubung pemberian vaksin dan pelaksanaan darurat.

Kok Seong berkata, dalam situasi genting seperti itu, ahli politik tidak seharusnya mencabar kerajaan yang merusaha mengekang penularan Covid-19.

“Kita semua secara umumnya, khususnya golongan cerdik pandai, mempunyai tahap atau daya intelek yang hampir sama sahaja sebagai orang Malaysia, ekoran daripada sistem pendidikan kita selain pembawaan ketimuran kita.

“Jadi bagi saya, sesiapa juga yang memerintah, akan melakukan perkara yang hampir sama sahaja, dengan kelebihan di sana dan kekurangan di sini. Ini kerana itulah fitrahnya! Sehubungan fitrah ini, memang terdapat had dan kekangan dalam melakukan apa-apa jua oleh manusia!,” ujarnya.

Ditanya mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakkan (PKP) penuh di negara ini, Kok Seong berkata, masyarakat harus bersedia menghadapnya dengan minda dan hati terbuka kerana ia akan memberi impak ke atas ekonomi negara dan individu.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga perlu memastikan rakyat yang memerlukan bantuan terutama golongan rentan dibantu dengan segera agar tidak  terjejas teruk. – MalaysiaGazette