SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan untuk melakukan Program Saringan Komuniti secara percuma dari rumah ke rumah di kawasan yang berisiko tinggi jangkitan Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, ia hanya boleh dilakukan sekiranya pihaknya mempunyai petugas yang ramai khususnya bantuan daripada sukarelawan.
“Kita sedang perkemaskan lagi (kaedah saringan), tapi kalau sebutkan rumah ke rumah, mungkin kita memerlukan pasukan yang lebih besar.
“Setakat ini kita masih menumpu kepada di satu tempat atau lokaliti dan kecenderungan awam untuk sama-sama hadir itu memang ada,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, hari ini.
Amirudin berkata, dengan pendekatan saringan secara pandu lalu yang dilaksanakan sebelum ini mampu mengurangkan risiko jangkitan apabila orang ramai berkumpul di pusat saringan.
“Semalam yang agak menarik kita dapat menguruskan secara pandu lalu, walaupun sampai jam 3.30 hingga 4 petang sahaja.
“Paling tidak, pandu lalu dapat mempercepatkan proses dan mengurangkan risiko jangkitan disebabkan perkumpulan orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin juga mendedahkan, kesedaran tinggi untuk membuat saringan Covid-19 dalam kalangan orang Melayu kini semakin tinggi, berbanding bukan Melayu sebelum ini.
“Sebelum ini respon sangat baik dan agak mengujakan dari kawasan bukan Melayu, tetapi sekarang kita lihat di Hulu Kelang, Kuang, Taman Templer, Gombak Setia dan Sg Tua yang majoritinya orang Melayu kita lihat komuniti Bumiputera beramai-ramai datang.
“Saya percaya ada petanda signifikan ada kesedaran yang tinggi untuk mereka menyemak dan menjaga keadaan mereka di samping melakukan ujian dan saringan yang kita tawarkan,” jelasnya.
Kerajaan Negeri Selangor boleh berbangga apabila setakat ini masih mampu menguruskan sehingga 50,000 orang dalam satu hari untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Semalam terbukti kita mampu menguruskan lebih 5,000 orang yang datang di Subang Jaya.
“Saya sangat yakin kita dapat menguruskan dan semalam kita dapat uruskan 5,000 dan jumlah terbesar yang kita dapat kumpulkan setakat ini.
“Saya yakin tak sampai 20 DUN sahaja kita sudah kumpulan 36,000 orang dan sasaran kita 50,000 orang, maknanya sambutan sangat baik dan kehadiran sangat signifikan DUN-DUN tertentu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Cer faham sikit YB.. buat test covid hr ni bukan bermakna esok takkan kena jangkitan.
Buat apa bazir duit rakyat. Tak perlu jadi hero.
Buka pusat atau lantik klinik di setiap adun/bahagian utk buat free test ni pd yg bergejala.
Yang lebih penting beri kesedaran n kefahaman pd rakyat apa gejala/symptoms covid ini. Bukan membuta test satu selangor.